Skip to main content

PERUTUSAN AIDILFITRI 1437

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”
(Surah Al Baqarah Ayat 185.)

Al Quran telah diturunkan Allah SWT pada bulan Ramadhan, dan pengakhiran bulan yang mulia ini sudah tentu diiringi kesepian harapan yang hanya mampu terubat sekiranya kita berpeluang menemui Ramadhan seterusnya.

Oleh kerana itulah, serangan kejam yang diperlakukan pada bulan Ramadhan – dari Istanbul, Dhaka, Puchong, Iraq dan terkini, Mekah dan Madinah lebih tragis apabila diperlakukan mereka yang tersesat dengan ajaran songsang.

Pusat-pusat bandar yang di tumpu oleh pengebom berani mati bukan sahaja mengorbankan jiwa mereka yang tidak berdosa, tetapi meninggalkan jejak terorisme dengan persepsi negatif terhadap Islam yang tidak mudah dilenyapkan.

Ketika umat Islam sedang melalui fasa 10 malam terakhir, dalam kesibukan fastabiqul khairat (berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan) ada pula pihak yang juga berlumba-lumba dalam melakukan keganasan demi keganasan.

Harus berapa banyak lagi darah yang perlu mengalir untuk membuka mata dunia dalam menunjukkan kewajipan solidariti al-haq (sokongan kepada yang benar) dan berpadu tenaga dalam memerangi keganasan secara total?

Ramadhan mengajar kita erti empati – menjiwai keperitan serta pergolakan ummah yang wajib kita selami.  Bagaimanakah mampu kita berdiam di kala kegilaan songsang ini berterusan?

Ideologi politik, ekonomi, sosial dan kemanusiaan sememangnya tidak dibatasi oleh sempadan kenegaraan yang menuntut kita menunjukkan sokongan terhadap kebenaran yang nyata terpampang di hadapan mata kita.

Dalam mendepani Syawal yang ke 1437H, sebaiknya kita memaknai semula erti kemenangan dengan memberikan dokongan kepada al haq iaitu kebenaran yang tulen.

Dan seharusnya kita dengan tekad yang yakin mengecam ideologi ekstremis ISIS/IL (Daesh), seraya memetik fatwa yang dikeluarkan oleh  Sheikh Muhammad Ahmad Hussein selaku Mufti Al Aqsa dan seluruh Palestin serta dipimpin Sheikh Abdullah Ben Bayyah:

“Adalah diharamkan di dalam Islam untuk menyeksa, Adalah diharamkan di dalam Islam untuk mengaitkan tindakan zalim dengan Tuhan;  dan Adalah diharamkan di dalam Islam mengecam sesiapapun kafir sehingga insan tersebut mengakuinya sendiri secara terbuka” [1]

Insafilah pemergian Ramadhan dengan bersama di dalam  solidariti al haq yang sepatutnya diberi perhatian.

Sesungguhnya Allah hanya menyayangi hamba-hambaNya yang penyayang (HR At-Thobrooni)

Justeru, saya menyeru semua pihak agar sentiasa dalam suasana menebar luas kasih sayang antara keluarga dan sahabat handai serta tidak membuat kerosakan di muka bumi ini. Islam adalah agama Rahmatan Lil Alamin (rahmat buat sekalian alam).

Kullu ‘am wa antum bi-khair
Taqaballahu minna waminkum
Salam Solidariti Al Haq

[1] http://m.huffpost.com/usentry/5878038.html

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN