Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan perutusan berikut melalui peguam beliau hari ini:
“Saya mulai dengan mengucapkan Ramadhan Kareem buat semua.
Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat Pembangkang dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia dari kepincangan tatakelola dan autoritarianisme Barisan Nasional, terus utuh.
Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik.
Pada masa yang sama, walau apa pun, Pembangkang masih berfungsi dan teguh di peringkat Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Parlimen.
Tekanan dan ketegangan seperti yang kita saksikan ini adalah fitrah sebuah gabungan politik yang telus dan demokratik seperti Pakatan Rakyat; ianya tidak bermakna kita tidak boleh menyelesaikan dan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi.
Saya percaya bahawa Pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.
Dari sebalik tirai besi ini, saya menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti-parti Pembangkang dan juga rakyat Malaysia untuk terus bergerak dalam perjuangan ini hinggalah kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan.
Yakinlah, saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan.”
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
23 Jun 2015
—