“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Surah Al-Baqarah 2:155]
Ujian demi ujian telah ditimpakan ke atas kita rakyat Malaysia dalam tahun 2014 ini. Luka akibat tragedi pesawat MH370 masih lagi berdarah, sekali lagi kita dikejutkan dengan tragedi yang berlaku ke atas sebuah lagi pesawat MAS, yang didakwa ditembak jatuh oleh puak-puak pemisah disekitar sempadan Ukraine dan Russia.
Umat Islam di bumi Gaza secara terus menerus telah diserang oleh rejim Zionis yang dahagakan darah. Air mata saya berlinang mengenangkan anak-anak yang terkorban disebabkan kerakusan manusia yang tidak mengenal sebarang batasan.
Dalam kegembiraan kita menyambut perayaan Aidilfitri yang menjelma, kita mestilah sentiasa mengingati kepada mereka-mereka yang sedang dilanda musibah, dan membantu mereka sedaya yang boleh. Hulurkanlah apa yang termampu, sama wang ringgit, bantuan tenaga serta doa yang tulus, dan menyuarakan bantahan demi meringankan kesedihan dan penderitaan yang melanda mereka yang terkesan. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 245:
“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
Saya juga ingin berpesan kepada semua rakyat agar bersabar dengan segala ujian yang telah diberi oleh Allah. Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 200
“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kalian dan kuatkanlah kesabaran kalian dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negeri kalian) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kalian beruntung.”
Islam mengajar kita agar sentiasa berfikir secara waras, dan tidak mengambil tindakan yang melulu dalam kita menghadapi sebarang musibah. Kesabaran ini akan dapat menghalang kita daripada mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada. Semangat kesabaran seperti ini perlu kita bawa dalam mengharungi Aidilfitri.
Dari itu, saya berharap, walaupun dengan ujian-ujian ini, kita akan dapat merayakan Aidilfitri dengan penuh kesabaran dan kesyukuran. Masih banyak lagi nikmat yang telah dijanjikan Allah sekiranya kita dapat bersama-sama mengharungi waktu yang sukar ini dengan jayanya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin