Kepada warga Lembah Pantai yang beragama Islam:
Assalamualaikum wbt.
Sempena sambutan Aidil Adha pada tahun 2009, saya dengan rendah diri menjemput semua warga Lembah Pantai untuk turut serta meraikan serta memeriahkan sambutan Aidil Adha yang dianjurkan oleh kami beserta CartoonCafe,(di bawah kelolaan kartunis terkenal, ZUNAR), JMB Pantai Permai dan teman-teman lain pada 28hb November 2009, hari Sabtu, dari pukul 8.00 pagi ke 3.00 petang, bertempat di Surau An- Nur Hidayah, Pantai Permai (lihat lampiran).
Tema majlis kami bertajuk “Pengorbanan Remaja, Penentu Masa Depan”. Pengkhususan diberikan kepada remaja yang seringkali terpinggir dalam diberikan keutamaan demi menggarap harapan serta kemajuan masa depan negara. Kita ambil sejarah pengorbanan Nabi Ismail a.s sebagai inspirasi dalam mengajak dan memahami arus cabaran yang mendepani remaja masa kini. Kalau kita mahu para remaja mengorbankan masa, tenaga mahupun jiwa demi kecintaan terhadap ibubapa, bangsa dan agama, kita perlu mulakan dengan memahami hati serta aspirasi mahupun permasalahan mereka. Sekiranya golongan remaja ini kita pupuk dan hargai dari awal, InsyaAllah, semangat perjuangan mereka akan kental dan akhirnya akan sampailah hasrat kita untuk mendapat insan beriltizam tinggi di masa hadapan.
InsyaAllah, tahun ini kita berkesempatan menikmati tiga ekor lembu yang tumbang di Masjid Pantai Permai, Kampung Limau dan juga Surau KTMB, Jalan Bangsar berkat daripada bantuan daripada hamba-hamba Allah yang prihatin.
Moga Allah SWT memberi kita kekuatan mengharungi cabaran mendatang.
Ikhlas,
Nurul Izzah Anwar