Sekali lagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriahnya tahun ini, walaupun baru sahaja dikenakan potongan subsidi minyak dan gula ditambah pula dengan kenaikan kos hidup. Ternyata, semangat Hari Raya terserlah walaupun dengan permasalahan ini.
Bagi saya inilah kali ketiga saya menyambut Hari Raya sebagai Ahli Parlimen.
Agama Islam mengajar bahawa sambutan Aidilfitri ini melambangkan kesucian kita yang kembali kepada fitrah atau asal kita, selepas melaui proses sebulan berpuasa.
Tidak kira miskin atau kaya, umat Islam menahan diri daripada lapar dan dahaga selama sebulan. Dan pada malamnya dimeriahkan pula dengan solat tarawikh dan ada juga yang bertadarus.
Pada musim inilah umat Islam juga diwajibkan membayar zakat fitrah bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. Dalam konteks sejarah Islam, semangat pembayaran zakat fitrah ini adalah merapatkan golongan bernasib baik dengan yang kurang bernasib baik.
Zakat fitrah memastikan yang papa tidak terus merana, dan yang kaya tidak melupakan mereka yang miskin. Ia satu bentuk zakat yang cukup spesifik tujuannya.
Daripada konsep zakat fitrah inilah saya melihat kawasan Parlimen saya yang penuh dengan kepelbagaian taraf ekonomi.
Yang bernasib baik di Bukit Pantai, Bukit Bandaraya dan Bangsar Baru, mungkin tidak banyak berurusan bersama dengan mereka yang mendiami Kampung Kerinci, Pantai Dalam atau Kampung Pasir sekiranya tidak kerana Hari Raya.
Walaupun tidak saling mengenali, saya percaya mereka ada berselisih ketika membeli juadah untuk berbuka puasa atau ketika membuat persiapan mendapatkan barang keperluan Hari Raya.
Sepanjang Ramadhan lalu, saya telah berpeluang berbuka serta bertarawikh bersama sebahagian pengundi-pengundi saya.
Selain daripada pelbagai program kawasan yang sudah saya langsungkan sejak lebih dua tahun lalu, dari masjid-masjid jugalah saya dapat melihat pelbagai keperluan dan kehendak ekonomi mereka yang berbeza-beza.
Saya harap, bersempena semangat Hari Raya ini, penduduk Lembah Pantai yang lebih bernasib baik dapat cuba mengenali mereka yang kurang berada. Alhamdulillah sebelumnya ramai yang telah sudi menyalurkan bantuan melalui saya.
Bukan setiap kali kita mengharapkan bantuan kewangan. Silaturrahim itu diperkukuhkan sekadar solat berjemaah di masjid di kawasan Kerinchi atau Pantai Dalam demi menghulurkan salam perkenalan.
Salah satu cara yang dapat difikirkan adalah kepada yang tinggal di Bangsar untuk bersolat Hari Raya di Pantai Dalam atau di Kerinchi, saling bermaafan-maafan dari penduduk kejiranan yang lain. Begitulah juga bagi mereka di kawasan lain.
Inilah sahaja laungan “perpaduan Melayu” yang dapat saya cadangkan. Perpaduan yang bermakna dan merangkumi kasih sayang sesama insan.
Semenjak dua Hari Raya yang lepas, saya sendiri bergerak di celah-celah kepelbagaian di Lembah Pantai ini dalam memahami negara saya dengan lebih dekat. Selain komposisi kaum, kemajmukan dalam kedudukan ekonomi ini menjadikan Lembah Pantai cerminan yang baik kepada negara kita Malaysia. Kerana itulah saya sangat berterima kasih kepada pengundi tempatan yang telah memberikan peluang kepada saya untuk menjadi wakil mereka.
Dalam kegusaran saya yang berterusan menjadi sasaran serangan ahli-ahli politik sepanjang Ramadhan lalu, terubat sedikit apabila melihat kemeriahan warga Lembah Pantai dalam kesibukan bersedia untuk Hari Raya.
Secara peribadi, saya sedar banyak lagi perkara yang mahu saya lakukan di sini kerana masih ada kekurangan yang patut diatasi di Lembah Pantai dan Hari Raya ini adalah peluang terbaik untuk saya menilai kembali khidmat yang telah saya berikan sejak lebih dua tahun lalu.
Saya percaya penduduk Lembah Pantai juga akan dapat melakukan perkara sama, ketika menyambut hari kita kembali kepada fitrah ini.
Oleh itu, jika ada salah dan silap, saya, Shahrir, Safiyah dan Harith mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Nurul Izzah Anwar
1 Syawal 1431