Skip to main content
Education

Perutusan Merdeka – Nurul Izzah Anwar

By 31 August, 2014February 5th, 2021No Comments

merdeka

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 57 menemui kita dengan tema: “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.” Walau dipuji, namun diingatkan supaya skop pemaknaan cinta haruslah disebarluaskan kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, warna kulit, agama, mahupun fahaman politik.

Semalam, Astro Awani memetik kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman pada tahun 1973:

“Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan”

Kemerdekaan sebenar tidak akan dapat kita capai sekiranya kita melupai bahawa cinta adalah salah satu penggerak kepada segala tindak-tanduk kita; dan mengakui bahawa kepelbagaian watak-watak terdahulu merupakan sebahagian daripada sejarah kita dan keperluan dalam mencipta masa depan bersama.

Sesungguhnya, sesuatu negara yang merdeka dari kuasa kolonialnya memerlukan masa untuk perubahan total. Amerika Syarikat yang menjadi kuasa besar dunia kini pun mengambil masa hampir 200 tahun untuk melakukan perubahan kearah menjadi negara maju. Dan lebih dekat dengan kita, negara Korea Selatan; dahulunya lebih mundur daripada kita, tetapi kini telah menjadi negara maju di mana produk kebudayaan ,ekonomi dan sistem pendidikan mencapai ke tahap yang membanggakan.

Bagi Malaysia, setelah 57 tahun merdeka, kita masih di takuk negara ekonomi kelas pertengahan sejak 1992 dan terus menjadi saksi kepada cetusan perkauman yang tidak henti-henti dibangkitkan. Acapkali “peristiwa 13 Mei” akan kembali dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu demi menakut-nakutkan rakyat akan suatu kejadian dalam saat-saat runcing – bukan buat rakyat, tetapi buat Pemerintah.

Ternyata, sikap perkauman yang melampau dan prejudis dalam mendepani kepelbagaian kaum di negara ini merupakan suatu petanda bahawa minda pimpinan negara kita masih terjajah dengan warisan penjajah yang melaksanan dasar pecah dan perintah sewaktu dahulu.

Dalam pada kemerdekaan dilaungkan juga, kita melihat tindakan-tindakan represif pihak kerajaan di dalam menangani perbezaan pendapat dan suara-suara kritikal dari rakyatnya masih tidak berubah. Akta Hasutan 1948 peninggalan penjajah British digunakan bukan sahaja untuk mengekang suara-suara mahasiswa yang menjadi agen perubahan masyarakat, malah digunakan untuk membunuh karier politik pimpinan pembangkang. Akta Hasutan 1948 ini sepatutnya telah diganti berikutan pengumuman Dato Seri Najib Razak pada 2012, diganti dengan Akta Keharmonian Nasional atas faktor ingin menjaga kestabilan negara dan menjaga tata tertib kebebasan bersuara.

Perlanggaran terhadap hak asasi manusia iaitu kebebasan bersuara ini bukan sahaja jelas melanggar semangat perlembagaan yang menjamin hak-hak tersebut bahkan dilakukan secara selektif dan bias.

Sedangkan jika kita kembali melihat kepada sejarah, tindakan-tindakan opresif inilah yang dilakukan oleh penjajah untuk menyekat suara-suara lantang tokoh-tokoh kemerdekaan dalam melawan agenda kolonial British dahulu.

Dengan kemerdekaan yang kita raih bersama, mengapa kita tidak mempertahankan cinta kemerdekaan ini bersama-sama juga dengan mengiktiraf kepelbagaian agama, bangsa dan budaya dan memandang suatu sama yang lain seperti keluarga yang telah kita bina selama 57 tahun?

Ketegangan kaum yang berlaku akhir-akhir ini juga mungkin disebabkan faktor ekonomi yang semakin meruncing. Kenaikan harga barang, pengurangan subsidi petrol dan gula, malah rakyat juga terpaksa bersedia dengan perlaksanaan GST yang bakal dilaksanakan pada April 2015 yang terpaksa dilakukan kerajaan bagi mengimbangi deficit fiskal billion ringgit dan merangkumi hampir 70% daripada KDNK (termasuk jaminan luar jangka) hasil pengurusan perbelanjaan negara yang tidak cermat beserta ketirisan dan korupsi yang berleluasa.

Ternyata, dengan segala masalah dan kemelut ini, kemerdekaan yang kita sambut selama 57 tahun ini menjadi kurang bermakna dan hambar sekiranya rakyat kebanyakan masih lagi sengsara dan hidup hanya menjadi hamba hutang dan kos sara hidup yang tinggi. Apalah makna kemerdekaan ini jika masih ramai lagi rakyat-rakyat miskin yang merempat di jalanan dan juga beban hutang seisi rumah yang kian bertambah saban hari?

Justeru, saya mengajak kepada kesepaduan dan cinta sebenar antara kita; yang wajib dimulakan oleh kerajaan dengan menghentikan tindakan represif ke atas pimpinan pembangkang dan perbincangan mendalam tentang wawasan negara yang menuju pembelaan mereka yang tertindas – daripada 6 ribu warga MAS yang seharusnya dibantu, kepada masyarakat miskin kota dan luar bandar yang terus dibelenggu dengan inflasi dan pengenalan GST nanti.

Kita sambut Hari Kemerdekaan yang ke-57 dengan mendepani kebenaran dan hakikat negara – dengan semangat cinta dan azam patriotik yang tulen berpaksikan kepada perjuangan rakyat.

 
Nurul Izzah Anwar,
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat,
Ahli Parlimen Lembah Pantai