PERUTUSAN YB NURUL IZZAH ANWAR
SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BARU CINA 2010
Buat teman-teman berbangsa Tiong Hua di Lembah Pantai, khususnya dan Malaysia amnya,
Saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk bersama-bersama rakan-rakan semua meraikan Tahun Baru Cina dengan penuh meriah. Perayaan yang datang sekali setahun ini harus diraikan sepenuhnya bukan sahaja oleh teman-teman berbangsa Tiong Hua, bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Saban tahun, setibanya sambutan Tahun Baru Cina, saya pasti teringat akan sebuah kisah lagenda Cina mengenai “Nien”, raksasa purba yang sering menyerang dan menzalimi penduduk kampung pada ketika itu. Namun, apa yang menarik perhatian serta menaikkan semangat saya adalah bagaimana raksasa yang amat digeruni itu berjaya ditumpaskan apabila penduduk kampung mula bersatu hati dan minda mencari jalan menewaskan “Nien”. “Nien” yang perkasa dan zalim itu tewas dalam satu pertempuran yang melibatkan akal dan bukan kekuatan fizikal semata-mata.
Kisah yang menjadi asal-usul kepada sambutan Tahun Baru Cina ini wajar menjadi sumber inspirasi bukan sahaja kepada rakyat berbangsa Tiong Hua tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya tentang bagaimana kezaliman, keganasan atau ketidakadilan boleh didepani atau ditumpaskan oleh rakyat sekiranya kita bersama-sama bersatu akal dan hati.
Teman-teman sekalian,
Kita ambil kesempatan sempena tahun 2010 yang disandang Sang Harimau, untuk berjuang mendapatkan keadilan –dari segi pulangan ekonomi, mahupun bila berhadapan dengan insiden jenayah sehari-hari. Harimau yang berani memberi harapan agar kita terus cekal dan teguh mendepani cabaran mendatang. Cabaran pula dihadapi bersama, dengan pengukuhan ikatan silaturrahim yang tidak mengenal perbezaan agama ataupun bangsa. dengan menjauhi sebarang pertelingkahan sesama kita serta mengukuhkan lagi tali siraturrahim sesama kita tanpa mengenal perbezaan bangsa dan agama.
Insiden-insiden provokasi yang berlaku hanya mengingatkan kita akan kepentingan untuk bersatu hati. Atas dasar inilah, saya ingin mengajak rakan-rakan semua merenung kembali kejadian yang berlaku dalam komuniti kita sejak kebelakangan ini. Cubaan-cubaan jahat berbaur perkauman serta menyentuh sensitiviti keagamaan rakyat Malaysia kian giat dirancang dan dilancarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Rumah ibadat yang merupakan simbol keagamaan yang suci dan utama di Malaysia menjadi mangsa serangan golongan tertentu yang berakal pendek dan tidak berperikemanusiaan. Semua ini hanyalah satu sandiwara bermotifkan kepentingan peribadi atas tujuan memecahbelahkan keutuhan perpaduan kita. Inilah “Nien” atau raksasa yang cuba untuk menanam rasa prejudis serta benci sesama kita. Justeru sebagai rakyat Malaysia yang matang dan cintakan keadilan serta keamanan, kita harus menjadi sang harimau yang berani menentang ketidakadilan dan kezaliman dengan cara mengukuhkan lagi kepercayaan, kefahaman serta penerimaan kita terhadap satu sama lain. Biarlah ini menjadi satu amaran yang keras dan tegas kepada agen-agen provokator tersebut bahawa cubaan yang dilakukan oleh mereka tidak memberi kesan kepada keutuhan perpaduan yang telah kita bina lebih dari 50 tahun ini.
Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina dan marilah kita perangi penghancur keharmonian rakyat dan tumpaskan semangat perkauman di Malaysia!
Salam Reformasi!
Nurul Izzah Binti Anwar, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim serta seluruh gerak kerja KeADILan di semua peringkat Lembah Pantai