Tatkala kerajaan BN berterusan cuba mengalihkan pandangan umum daripada fakta mengenai ketirisan dalam pengurusan dana awam melalui ‘berita palsu’ yang diterbitkan di media arus perdana, rupa-rupanya ada dapatan menarik mengenai GST yang sengaja disenyapkan. Perolehan kerajaan RM39 bilion menerusi GST adalah sama dengan jumlah kerugian yang dicatatkan akibat skandal penyelewengan 1MDB. Menerusi kadar GST 6%, rakyat menjadi mangsa kepada penyelewengan kerajaan. Sementara, pimpinan Pakatan Harapan (PH) kekal konsisten dengan pendapat bahawa beban akibat GST harus dihentikan segera.
Awal bulan ini, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) mendedahkan bahawa 1MDB mengalami kerugian RM39 bilion akibat penyelewengan dan pengurusan yang lemah dan pada masa sama, kerajaan BN dijangka mengumumkan kutipan RM39 bilion menerusi GST pada 2016.
Ini jelas menunjukkan cukai yang tinggi kepada rakyat – terutamanya golongan B40 dengan kadar 6%, boleh dielak sekiranya 1MDB tidak perlu diselamatkan.
Pakatan Harapan kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru dan beban yang diakibatkan oleh GST harus dihentikan segera. Saya sekali lagi menegaskan komitmen Pakatan Harapan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif 2017 bahawa semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan kadar sifar GST sekiranya PH diberi mandat pada pilihan raya akan datang. Langkah ini bertujuan mengalihkan beban rakyat yang sengsara akibat kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanakan GST 6 peratus.
Apapun, tindakan kerajaan BN berterus-terusan mengenakan cukai yang membebankan rakyat menerusi GST pada kadar 6% sejak dua tahun yang lalu jelas membuktikan rakyatlah yang sebenarnya menyelamatkan kerajaan pusat.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN