Program pemulihan negara tidak mampu berlangsung tanpa pemulihan sosio-ekonomi rakyat menerusi penurunan dana yang mencukupi; pelaksanaan moratorium bank secara automatik; subsidi gaji (furlough scheme yang memadai); dan pengenalan insuran pekerjaan automatik buat semua rakyat Malaysia yang bekerja; untuk menyelamatkan bukan sahaja segmen B40 tetapi juga M40 yang kini berisiko terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
Program pemulihan negara juga terganggu apabila operasi bagi 128,150 syarikat berdaftar (walau pada awalnya diumum 95,142 syarikat) melibatkan kira-kira 1.57 juta pekerja dibenarkan juga. Akhirnya menjelang 15 Jun 2021, kes hampir mencecah 5 ribu sehari, dengan 639 kluster COVID-19 sahaja dari tempat kerja sektor pembuatan. Keengganan mengeluarkan dana untuk membiayai sara hidup rakyat tidak boleh dijadikan alasan kepada pembukaan industri yang berterusan.
Negara juga tidak mampu pulih sekiranya PKS tidak diberi pemanjangan tempoh moratorium automatik sebagaimana disaran pakar ekonomi; sebanyak 37.7% daripada PKS akan gulung tikar buat selama-lamanya sekiranya PKP berterusan. Bukan sahaja PKS terbeban, tetapi syarikat bertangga M40 di Permatang Pauh seperti De’ Pauh Cafe mengalami kerugian yang besar dan terjejas kewangannya hampir 90 peratus; manakala Restoran Fauzan Kari Kepala Ikan pula terpaksa menutup operasi mereka apabila menanggung hutang yang semakin menggunung. Pengumuman perancangan bantuan tunai maksima RM500 dan geran PKS RM1500 beserta upah RM600 seorang hanya untuk sebulan adalah tidak memadai.
Bandingkan dengan sektor perbankan yang mencatatkan keuntungan bersih lumayan walau moratorium enam bulan dilaksana waktu PKP 1.0; Maybank, RM2.39 billion (+16.6%); RHB Bank, RM650.39 juta (+13.9%), Public Bank Berhad, RM1.529 bilion (+15.1%); – berakhir 31 Mac 2021.
Sumber | 2020 | 2019 | Perbezaan | |
Maybank Berhad | No. 45 Annual Report (m/s 137) | RM 9,400,000 | RM 8,434,000 | + RM 966,000 |
RHB Berhad | No. 42 Annual Report (m/s 118) | RM 5,894,000* | RM 4,894,000 | +RM 1,000,000 |
Public Bank | No. 37 Annual Report (m/s 146) | RM 36,959,000* | RM 34,698,000 | +RM2,261,000 |
BIMB | No. 41 Annual Report (m/s 263) | RM 3,115,000 | RM 2,998,000 | +RM117,000 |
Laporan Kewangan RHB Berhad 2020 memperincikan sebanyak RM4,147,000 dibayar kepada Pengarah Urusan mereka, dengan nota kaki bonus tambahan sebanyak RM 1,747,000 pada tahun yang sama. Manakala Laporan Tahunan Public Bank 2020 – mencatatkan komponen bonus yang besar hampir 50% daripada jumlah gaji bernilai RM18,968,000 dibayar kepada Pengarah Eksekutif. Melihat kepada warga pekerja pula – begitu ramai yang secara sembrono dipotong gaji mereka atau dibuang, sedarlah bahawa negara hanya mampu pulih sekiranya pekerjanya mampu terus hidup. Cadangan pemberian subsidi gaji sekurang-kurangnya RM1,500 selama tiga bulan, dan bukannya sekadar RM600 sebulan sebagaimana diumum, perlu diambil kira melihat realiti kadar pengangguran yang kini mencecah 5.1 peratus, sementara pengangguran belia kohort 15-24 tahun meningkat sehingga 13.7 peratus.
Diakui, moratorium automatik dan subsidi gaji hanya sekadar plaster luka sementara bagi luka dalam yang memerlukan pembedahan lanjut. Pada saat inilah, sepatutnya program pemulihan negara menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) – dahulunya diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KPWKM yang mengusulkan Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindungan Sosial bagi memperkemaskan program bantuan sosial yang tidak seragam – dilaksana dengan serta-merta.
Kini, MySPC di bawah Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin; dan hanya sempat bertemu buat kali kedua pada bulan ini setelah bermesyuarat buat kali pertamanya pada Disember 2020. Skim gig yang ditawarkan MDEC dan agensi kerajaan lainnya hanya mampu mencapai kurang 10 peratus daripada pekerja informal; yang sebahagian besarnya merupakan petugas barisan hadapan ekonomi negara. Mereka bertarung nyawa tiap hari dalam menjalankan tugas, tapi tidak punyai jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kebajikan mereka dalam situasi cemas.
Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan sebagai ‘exit strategy’ semalam memperlihatkan rakyat terus dipenjara dengan hukuman yang jauh lebih berat apabila perintah berkurung bakal berterusan sekurang-kurangnya sehingga bulan September tanpa bantuan sosioekonomi yang mencakupi keperluan rakyat. Jangan sampai kita terlalu tertumpu kepada konsolidasi fiskal – dan melakukannya terlalu awal. Apa gunanya penarafan hutang negara jika rakyat merana dan ekonomi menjunam?
Justeru sementara kita harungi PKP terkini, kerajaan digesa melaksanakan Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan yang telah dibentangkan sekian lama bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum; mengagihkan bantuan secara efisien untuk menepati impak yang disasarkan. Pertimbangkan bantuan sejagat tanpa memilih bulu dan laksanakan pendaftaran bagi setiap warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan sosial yang amat diperlukan secepat mungkin.
Pulihkan negara bermula dengan rakyatnya.
———————
1 Covid: Can I go on furlough and when has it been extended to?
https://www.bbc.com/news/explainers-52135342, BBC News, 03 Mac 2021
2 ‘Tiada bank muflis beri moratorium enam bulan tahun lalu’, <https://www.sinarharian.com.my/article/142002/BERITA/Nasional/Tiada-bank-muflis-beri-moratorium-enam-bulan-tahun-lalu>, Sinar Harian, 03 Jun 2021
3 Jumlah angka yang diberikan dalam laporan tadbir urus korporat adalah jumlah dari angka-angka yang ditunjukkan di dalam jadual 2020. Mengapa angka ini didedahkan secara berasingan, dan persoalan yang lebih utama – mengapa bonus tambahan yang sebegitu besar tetap dibayar buat pengarah-pengarah institusi perbankan pada masa negara kita sedang menghadapi krisis pandemik Covid-19?
4 Kekurangan pekerja sosial antara cabaran tangani masalah sosial, <https://www.sinarharian.com.my/article/51220/BERITA/Nasional/Kekurangan-pekerja-sosial-antara-cabaran-tangani-masalah-sosial>, Sinar Harian, 09 Okt 2019