Jiwa sesuatu bangsa terbentuk melalui pengalaman bersama apabila mengharungi perjalanan sejarah dengan pertembungan serta penyerapan pengaruh pelbagai tamadun yang menggambarkan kewujudan satu landasan evolusi yang mesti dilalui setiap bangsa ke arah mencari mercu kemartabatan tertinggi sebagai bangsa mulia yang tidak akan hilang di mata dunia.
Jiwa Melayu yang kaya evolusi penerasan bangsa beribu tahun ibarat sulaman songket simpulan benang – dengan perjalanan migrasi bangsa bermula dari Champa dan Yunan bergerak sehingga ke Semenanjung Emas dan Kepulauan Indonesia – serta kacukan berbagai budaya, bangsa dan empayar-empayar dari India, Sri Lanka, Cina, Kemboja, Siam, Sumatera dan Jawa – sehingga kelahiran Kesultanan Melayu yang menyaksikan bangsa kemudiannya dijajah lebih 500 tahun oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun – telah mencorak citra bangsa kita.
Jiwa Melayu yang kaya evolusi kerohanian berbagai agama ibarat bijih-bijih dilebur menjadi emas dengan kepercayaan animisma, buddha, hindu dan akhirnya keunggulan Islam – telah menjadi teras jati diri bangsa.
Jiwa Melayu yang kaya evolusi cita rasa bermacam budaya ibarat warna-warni pelangi pagi hasil pertembungan berbagai tamadun dapat dilihat daripada adat resam, perkahwinan, masakan, pakaian, sukan, silat dan seni – telah menjadi lambang kesejagatan bangsa.
Jiwa Melayu yang kaya evolusi membina masyarakat ibarat beluncas menjadi kupu yang berkembang daripada sistem feudal, kolonial dan akhir sekali negara merdeka – telah menjadi khazanah pengalaman siasah bangsa.
Tetapi, oleh kerana evolusi perjalanan diatas landasan perkembangan bangsa masih berterusan – maka sudah tiba masanya untuk anak bangsa menilai semula makna Jiwa Bangsa – yang berada di persimpangan antara dua ideologi iaitu ikatan kebangsaan atau ikatan kenegaraan.
Ideologi kebangsaan berteraskan kepada nilai-nilai perkauman yang sempit manakala ideologi kenegaraan berteraskan kepada nilai-nilai sejagat yang luas – dijadikan sebagai dasar membina negara dan jati diri kewarganegaraan yang merentas identiti perkauman – kini menjadi pilihan untuk meneruskan evolusi bangsa ke tahap yang lebih mulia dan tinggi.
Oleh itu, marilah kita renung bersama sajak nukilan hati demi mencari jawapan kebenaran dan hala tuju pencorakan jiwa bangsa seterusnya.
‘Melayu Musyawarah Bina Malaysia’
Kerana Melayu itu….. Muslim lagi Beriman, Mulia serta Budiman, Hidup ada Pedoman;
Bukankah negara merdeka ini mesti berpandukan keimanan, akhlak budiman dan pedoman agama yang mesti mengecam sebarang kejahatan, penipuan dan kelucahan demi kepentingan puak yang hendak berpegang kepada kuasa?
‘Melayu Muhibah Berbilang Bangsa’
Kerana Melayu itu….Berlaku Adil tidak Menindas, Beramanah tidak Merampas, Bersantun tidak Mengganas;
Bukankah negara merdeka ini mesti bersatu padu menghormati semua bangsa sebagai rakan, jiran dan teman dan bukan sebagai pendatang yang menumpang yang sentiasa diasak retorik dan polemik memecah-belahkan masyarakat oleh puak yang hendak terus berkuasa?
‘Melayu Mahabbah Bertimbang Rasa’
Kerana Melayu itu…Benci Bersubahat Buat Jahat, Benci Merasuah Harta Rakyat
Benci Memfitnah Langgar Adat;
Bukankah negara merdeka ini mesti berpaksikan sifat mulia kemanusiaan dan nilai tertinggi agama yang menimbulkan rasa jijik terhadap semua bentuk kepalsuan dan kejahatan yang disemai puak yang sudah ketagih kuasa?
‘Melayu Muhasabah Berbuat Jasa’
Kerana Melayu itu….Ada Maruah Harga Diri, Ada Akal Hati Sendiri, Ada Hitungan Akhirat nanti;
Bukankah negara merdeka ini mesti dicurah budi dan bakti oleh semua rakyat agar masa depan anak cucu terpelihara yang tidak mudah mengalah kepada puak yang gila kuasa?
‘Melayu Maslahah Demi Massa’
Kerana Melayu itu….Takut Tuhan bukan Tuan, Tidak (Undi) DiJual Kopi Secawan,
Terus Lawan tetap Lawan!
Bukankah negara merdeka ini mesti terus dibina untuk kepentingan semua berlandaskan sifat kerohanian murni dan keadilan didalam semua aspek kenegaraan tanpa rasa takut kepada puak yang sebenarnya paling takut kehilangan kuasa?
Kalau inilah Melayu Dulu dan Kini – Ke mana hilangnya Melayu ini? – Lupa diri atau di Beli? – Jangan Sesal di hari Menanti – Bila nyawa di sambut Mati.
Insya Allah, Jiwa Melayu akan terus mekar menjadi pendekar kemerdekaan dan keadilan untuk semua berpegang kepada ikatan kenegaraan kerana itulah Melayu dan inilah Malaysia.
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 8hb Mei 2012)