Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ramadhan kareem buat teman-teman seperjuangan; Anak-anak Muda Malaysia.
Saya menyahut baik saranan beserta deklarasi “Rakyat Perlukan Kerajaan Alternatif” yang diwakili 146 suara Anak-anak Muda, bertarikh 2 Julai 2015.
Komentar Anak-anak muda Malaysia ini seolah-olah diiringi Semboyan yang Tegas mengungkap kata-kata Sutan Takdir Alisjahbana – berlatarbelakangkan kepelbagaian tetapi menaruh harapan yang satu; melihat Malaysia yang lebih adil, bersatu, makmur dan sejahtera.
Saya meneliti tiga tuntutan yang menyenaraikan; gabungan baru yang berhasil demi rakyat; prinsip kerjasama yang lebih tegas serta benar-benar inklusif. Tuntutan yang semestinya mencabar; dengan halangan institusi yang tidak demokratik di Malaysia tetapi tidak mustahil dilaksanakan.
Tuntutan mereka meniupkan semboyan yang mengiringi keluhan rakyat terbanyak. Rakyat, yang kini semakin serba tidak keruan kesempitan ekonomi yang semakin keruh – akibat skandal demi skandal yang kini mendapat perhatian dalaman negara serta dunia.
Daripada dakwaan penyelewengan amanah Lembaga Tabung Haji, hancurnya legasi amanah MARA sehinggakan skandal terbesar 1MDB; penindasan berterusan terhadap suara kritis – hatta dari mantan Ketua Pembangkang, ahli-ahli parlimen, para akademik hinggalah siswa-siswi UKM13 yang ketiadaan air- semuanya menyempitkan lagi ruang harapan optimis buat masa depan negara yang lebih lestari.
Gandingan skandal peringkat nasional diperitkan dengan hutang seisi rumah kepada KDNK yang mencecah 146 peratus berbanding 139 peratus pada 2007, mengalahkan Amerika dan Britain.[1]
Juga jangan dilupakan pegangan aset kewangan median bumiputera yang mengejutkan pada kadar RM1; cukai GST yang terus menekan – hingga ke bidang kesihatan dan jua pendidikan; serta inflasi yang semakin meninggi.[2] Malaysia harus diselamatkan.
Justeru, semboyan Anak-anak muda ini saya sambut dengan penuh pengharapan serta keterbukaan. Mereka mewakili 7 juta pemilih baru dalam PRU yang bakal mendatang. Maka, pertemuan sudah pasti Inshaa Allah – sekiranya tiada aral yang melintang; dan degup jantung yang berdetik menjanjikan seribu-satu pengharapan.
Maju terus Anak-anak Muda Malaysia!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN
____________________________________________
[1] Nisbah di Amerika Syarikat pada tahun 2014 ialah 99 peratus, sementara di UK ialah 133 peratus
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/malaysias-soaring-household-debt-feared-unsustainable-may-trigger-crisis
Di peringkat isi rumah, 20 peratus teratas dikalangan rakyat Malaysia memiliki lebih daripada 51 peratus daripada kekayaan negara, yang mana 10 peratus teratas memegang 35 peratus jumlah kekayaan. Sementara 20 peratus yag terbawah cuma memegang 5 peratus daripada kekayaan negara.
http://www.thestar.com.my/Opinion/Letters/2015/01/23/Consider-reintroducing-inheritance-tax/