KENYATAAN MEDIA (9 OKTOBER 2018)
SEGERA SELESAI KEMELUT PTPK DEMI MASA DEPAN ANAK-ANAK B40
Umum mengetahui siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kes salah guna dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) oleh setiausaha politik bekas Menteri Sumber Manusia berjumlah RM 40 juta yang berlangsung sejak 2017. Walaupun isu ini telah saya bangkitkan dalam lawatan ke PTPK dan dalam Parlimen, ianya bukan sekali-kali alasan untuk membeku penyaluran pinjaman pelajaran kepada para pemohon yang layak.
Meskipun kita memahami kebimbangan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyalur dana buat institusi yang bermasalah, kesediaan pihak PTPK dan kementerian untuk menyelesaikan isu penyaluran dana ini disambut baik dan wajar disegerakan.
Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar pemohon dana PTPK masih tidak diluluskan antara 8 sehingga 12 bulan akibat ketiadaan sumber untuk meneruskan pengajian menimbulkan kebimbangan berpanjangan. Kelompok ini, yang rata-ratanya menuntut di pusat latihan swasta di serata negara, seolah-olah diketepikan walaupun berniat mahu menceburi sektor TVET untuk mengecap masa depan yang berkualiti.
Harus diingat, 82% daripada pelajar TVET di seluruh Malaysia terdiri daripada golongan B40, dan memerlukan bantuan dana untuk melanjutkan pelajaran. Pembekuan dana ke atas PTPK serta birokrasi dalam proses pinjaman mengakibatkan bilangan kelas serta program yang semakin mengecil.
Dari tahun 2012 sehingga 2017, permohonan pinjaman yang diluluskan hanyalah antara 21,448 dan 29,769 – berbanding jumlah permohonan tahunan antara 235,067 dan 263,919 dalam tempoh yang sama (kadar kelulusan antara 9% dan 17%).
Walaupun dianggarkan seramai 11,666 pelatih TVET di pusat swasta menerima manfaat daripada peruntukan RM 175 juta dan 3,333 pelatih daripada pusat latihan awam yang mendapat manfaat sebanyak RM 50 juta hasil daripada dana pembayaran balik, pihak PTPK dan kementerian perlu memikirkan cara untuk membantu para pemohon yang begitu ramai.
Jumlah keseluruhan dana yang diperolehi oleh PTPK dalam Belanjawan 2018 berjumlah RM 225 juta, dan kelihatan tidak mencukupi untuk menampung jumlah pemohon yang tinggi saban tahun.
PTPK dan Jabatan Pembangunan Kemahiran juga perlu meneliti kenaikan mendadak jumlah pembekal TVET di seluruh negara, yang telah memberi kesan kepada peruntukan dana kemahiran. Kebergantungan pembekal latihan TVET swasta pada dana kerajaan untuk menyokong aspirasi pembangunan TVET negara harus dibantu dengan realistik.
Disebabkan ketiadaan dana, beberapa pusat pelatih swasta berhadapan dengan masalah pendapatan dan kebajikan dalam menampung kos operasi institusi tersebut.
Saya menyarankan peningkatan kepada dana pinjaman TVET, yang hanya mencecah RM 175 juta pada tahun ini berbanding RM 200 juta pada tahun 2017. Kementerian Kewangan perlu melihat keutamaan kepada dana TVET kerana ia bakal menentukan hala tuju sektor ekonomi negara dalam jangka masa terdekat.
Saya turut menjanjikan komitmen tulus untuk terus memperjuangkan isu dana dalam sidang Parlimen Oktober ini dalam sesi perbahasan Belanjawan Negara 2019 secara konsisten.
Visi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi hanya boleh dicapai melalui pelaburan program tenaga kerja yang berkualiti, yang perlu diutamakan kerajaan Pakatan Harapan.
Demi mengembangkan potensi bakat-bakat yang ada, saya juga menyeru pihak kementerian bersama PTPK untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan industri, di samping mengenalpasti hala tuju ekonomi dan permintaan sektor global – seiring dengan matlamat menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di peringkat serantau.
Malaysia berada di landasan yang tepat untuk bergelar di negara moden, namun pengukuhan sektor pekerjaan wajib diteliti pada setiap masa. Agensi seperti PTPK khususnya, perlu diperteguh demi memastikan masa depan anak-anak Malaysia, dan pelatihan tenaga kerja TVET negara secara umumnya, kekal terjamin.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH