Skip to main content
Media

Selamat Hari Natal & Selamat Tahun Baru 2011

By 24 December, 2010February 5th, 2021No Comments

Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya penganut agama Kristian yang bakal menyambut Hari Natal pada 25hb Disember ini.

Seperti yang kita tahu, Hari Natal dirayakan sekitar penghujung tahun. Bagi yang menganuti agama Kristian, ini merupakan waktu untuk memperkukuhkan ibadat disamping meluangkan masa untuk bersama keluarga dan sanak saudara.

Bagi rakyat Malaysia amnya, ini waktu yang amat sesuai juga untuk kita bersama-sama mengambil iktibar dari tahun yang telah berlalu: Telahkah segala azam dan cita-cita kita untuk tahun 2010 tercapai? Apakah yang boleh kita perbaiki dalam perlakuan dan perhubungan kita sehari-hari? Bagaimanakah kita boleh memajukan diri kita dan masyarakat?

Walaupun kita sekarang ini dikerumuni panggilan “jualan murah” di pusat membeli-belah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kita semua bahawa amalan berjimat itu satu amalan yang mulia. Peringatan ini lebih meruncing memandangkan kita baru “dihadiahkan” kenaikan harga petrol dan gula, yang sudah pasti memberi kesan kepada ekonomi kita amnya.

Juga saya diingatkan baru-baru ini tentang jumlah hutang peribadi yang ditanggung isi rumah rakyat Malaysia berjumlah RM466 bilion! Yang terburuk di Asia! Jadi, fikir-fikirlah dahulu sebelum membeli, ya?

Bersangkutan dengan itu, kita bukan sahaja semakin miskin ekonomi, tapi kita juga semakin miskin demokrasi – lihat sahaja akta-akta seperti ISA, PPPA, OSA dan sebagainya yang melemahkan semangat dan daya saing demokrasi negara kita!

Maka di ambang 2011 ini saya bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan azam kami untuk membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi, yang kami harap mampu memulih prasarana minda dan jiwa rakyat Malaysia yang merdeka.

Akhir kata, penghujung tahun memberi kita satu peluang yang cukup istimewa, iaitu peluang untuk berubah. Dari tahun lama ke tahun baru; dari perlakuan lama ke perlakuan baru; malah dari politik lama ke politik baru sekalipun!

Oleh itu, marilah kita ambil kesempatan yang ada dalam masa terdekat ini untuk berubah demi kebaikan dan kesejahteraan bersama, demi kesaksamaan dan keadilan sejagat, demi Malaysia yang lebih baik.

Selamat Hari Natal, dan Selamat Tahun Baru 2011.