Walau saling bertentangan, ada kalanya pabila kegelapan bermaharajalela, kita semua mengharap dan berusaha untuk meniti hari bilamasa cahaya menyinari seluruh semesta. Mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, pada Hari Deepavali ini, cahaya yang mewakili kebenaran dan kebaikan berjaya mengalahkan kegelapan yang mewakili ketidakadilan dan kejahatan.
Hakikatnya, kita hidup dengan berharap akan cahaya yang bakal menjelma; di lapangan, masih ramai yang belum mengecapi kemenangan yang digambarkan dalam perayaan ini. Secara khusus, saya teringat akan nasib masyarakat yang majoritinya India yang masih menetap di Estet Ladang Bukit Jalil, di satu penjuru Lembah Pantai – seiring dengan kad ucapan Hari Deepavali saya yang mereka sendiri gubahkan.
Estet ini yang wujud sebelum Malaya merdeka lagi kini hampir menjadi kenangan – cuma sekitar 40 penduduk asal masih menetap di situ, disebabkan arus pembangunan yang menelan kawasan berdekatan. Arus pembangunan ini telah dizahirkan dalam bentuk arahan yang kini memaksa mereka meninggalkan tempat tinggal mereka ini, tanpa pampasan yang memadai penduduk yang membanting tulang bekerja sehingga 4 generasi lalunya sebagai penoreh getah.
Akan tetapi para penduduk Estet Ladang Bukit Jalil enggan berganjak, dan akan terus bertahan, kerana mereka menaruh harapan yang disimbolkan menerusi Hari yang penuh bercahaya ini – di mana selaku penduduk yang telah 4 generasi lamanya mengukir sejarah di halaman tersebut, berhak mendapat sekurang-kurangnya tanah empat ekar – sekadar sekangkang kera – dalam usaha mereka meneruskan penempatan, perumahan, kehidupan bersama keluarga dan jiran tetangga yang mereka kasihi.
Moga harapan mereka dipenuhi dengan masa depan yang penuh bercahaya lagi bermakna.
Untuk mereka, dan semua warga Malaysia yang menyambut Festival Bercahaya ini: Deepavali nal valthukkal!