Skip to main content
Statements

Selamat menyambut Ponggal

By 15 January, 2011February 5th, 2021No Comments

Hari ini, perayaan Ponggal akan disambut dengan meriahnya oleh masyarakat India. Perayaan ini memperingati musim menuai yang baru sahaja tamat dan juga mengharapkan rezeki tahun ini yang akan datang melimpah ruah.

Sewaktu masyarakat India bergembira merayakan Ponggal, marilah kita bersyukur yang perayaan seperti ini masih dapat kita alami bersama dalam suasana aman damai. Ini jelas membuktikan yang negara tercinta kita cukup luas dan cukup mampu memelihara kepelbagaian di kalangan kita, seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan yang kita hormati. Dan kepelbagaian ini bukan sahaja harus kita pelihara malah harus kita pertahan, kerana dengan mengamati dan memahami kepelbagaian, rakyat negara ini akan bertambah kukuh peribadinya, bertambah matang akal fikrahnya, bertambah kuat daya saingnya.

Pada masa yang sama kita harus ingat, bak simboliknya susu yang melimpah dari tempayan akibat dimasak cukup lama, rezeki negara kita bakal melimpah ruah sekiranya kita berusaha dengan cukup gigih dan penuh ketekunan.

Akhir sekali, saya diingatkan yang pada perayaan Ponggal, masyarakat India akan membuang barang-barang lama sebagai tanda permulaan yang baru. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk membuang bukan sahaja barang-barang yang lama, tetapi juga perangai yang lama, tabiat buruk yang lama, dan juga politik yang lusuh, buruk, dan sudah pasti lama.

Marilah kita sama-sama maju ke hadapan dengan permulaan yang baru ini, demi Malaysia yang lebih baik.

Selamat menyambut Ponggal saya ucapkan buat masyarakat India yang saya kasihi.