Skip to main content
Penerbitan

Sinar Harian: Bajet 2013 Pusat defisit moral, dakwa Izzah

By 4 October, 2012February 18th, 2020No Comments
Salmiah Druhamad Drashin
4 Oktober 2012

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR –  Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu merupakan bajet yang menyebabkan negara terus menanggung defisit fiskal dan “defisit moral”, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika membahaskan ucapan Bajet 2013 di bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Nurul Izzah, bajet yang dibentangkan Najib jelas sama sekali meminggirkan generasi muda pada masa hadapan.

Meskipun memberikan beberapa imbuhan pada hari ini, ia bagaimanapun tidak menjamin kehidupan yang lebih baik kepada generasi berkenaan.

“Anak muda dan belia masa hadapan Malaysia tidak memerlukan sumbangan yang berbentuk jangka masa pendek dan sekadar mengisi saku sekali-dua.

“Anak muda mahukan peluang, ruang dan sokongan untuk membina masa depan yang lebih baik – bukan dibeban dengan hutang peribadi dan hutang negara gergasi, kadar gaji yang malar, kuasa membeli hasil matawang yang lemah, harga kereta tinggi, harga rumah diluar kemampuan dan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

Menurut beliau, majoriti golongan muda hari ini dibebani dengan kos sara hidup yang melambung tinggi dengan pendapatan yang tidak setimpal.

“Hakikatnya, anak-anak muda terpaksa pasrah dengan peningkatan gaji sebanyak 2.6 peratus berbanding inflasi secara purata 3.2 peratus sejak sepuluh tahun kebelakang.

“Malang, tujuan kerajaan seperti mengumumkan Program Transformasi Ekonomi adalah untuk mengeruhkan lagi herotan sistem sedia ada di mana nisbah gaji pekerja berbanding keuntungan syarikat akan menurun daripada 28 peratus sekarang kepada 21 peratus pada tahun 2020,” ujar beliau.

Justeru katanya, Bajet 2013 Kerajaan Pusat hanya langkah jangka masa pendek kerajaan di samping hanya mengkayakan kroni.

“Semenjak 1999, kerajaan BN telah menggunakan bajet defisit setiap tahun yang meletakkan ekonomi negara di tahap paling lemah berbanding negara-negara Asia lain.

“Hutang kerajaan persekutuan akan mencecah lebih 53.7 peratus KDNK atau RM502.4 bilion yang sudah hampir siling yang dibenarkan di bawah undang-undang.

“Tetapi sekiranya kita jumlahkan dengan ‘hutang tersembunyi’ di dalam bentuk ‘contingent liability’ kita sudah pun melebihi 65 peratus KDNK,” katanya.

Bahkan menurut Nurul Izzah lagi, bajet yang dibentangkan Najib jelas sekali ‘ekonomi prokroni bukan prorakyat’ berbeza dengan bajet Pakatan Rakyat yang meletakkan keutamaan rakyat seperti pendidikan percuma kepada generasi pelapis pada masa hadapan.

Katanya lagi, sekiranya kerajaan berani menyahut cabarannya untuk menyenaraikan nama anak-anak atau ahli keluarga menteri dan timbalan menteri (serta nama syarikat-syarikat) yang mendapat projek, tender dan kontrak kerajaan yang melebihi RM5 juta daripada tahun 1998-2012, maka “ barulah kerajaan ada hak moral terhadap generasi muda”.

Dipetik dari Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/nasional/bajet-2013-pusat-defisit-moral-dakwa-izzah-1.91492