Skip to main content
Issues Affecting the RakyatMediaPress ReleaseStatements

Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Haram

By 14 June, 2012February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN BERSAMA
SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA MENGENAI PENDATANG HARAM

1.  Pendatang tanpa izin begitu lama menjadi masalah dalam negara terutamanya di Sabah setelah hampir empat dekad lamanya.

2.  Mereka menjadi senjata politik dalam tahun 1980an berikutan bilangan sebegitu ramai pendatang didaftarkan sebagai pemilih.

3.  Peningkatan mendadak pendatang asing pada penghujung tahun 80an dan 90an mengakibatkan perubahan besar demografi khasnya di Sabah. Dipercayai daripada 3.3 juta penduduk di Sabah, hampir satu juta adalah pendatang atau satu pertiga daripada jumlah penduduk Sabah.

4.  Terdapat dakwaan meluas bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional mendaftarkan bilangan besar pendatang di bawah projek rahsia yang diberi nama kod “Projek IC”.

5.  Mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dikaitkan secara langsung dalam operasi rahsia ini yang bertujuan untuk memastikan penguasaan Barisan Nasional pimpinan UMNO.

6.  Kebanjiran para pendatang telah mengakibatkan ketegangan dalam masyarakat. Ia menjadi bertambah parah akibat sikap tak acuh Kerajaan BN, kecuaian penguatkuasaan undang-undang dan rasuah yang berleluasa dalam agensi-agensi kerajaan. Gesaan kepada suatu siasatan menyeluruh telah disuarakan oleh pihak Pembangkang dan juga kalangan anggota parti-parti BN.

7.  Sejak 2009 lagi Pakatan Rakyat menggesa Kerajaan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (Royal Commission of Inquiry – RCI) untuk menangani masalah-masalah berkaitan imigresen di Sabah. Tuntutan ini telah dimaktubkan sebagai satu daripada 10 perkara utama dalam program 100 hari Buku Jingga. Parti-parti politik Sabah seperti UPKO, PBS, SAPP dan sebagainya turut menyuarakan dengan tegas mengenai keperluan penubuhan RCI.

8.  Kerajaan BN pimpinan UMNO sebenarnya tiada kesungguhan untuk menyelesaikan isu kebanjiran pendatang tanpa izin kerana mereka lemah dan mudah diperalatkan untuk mengundi BN.

9.  UMNO pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak masih berdalih untuk melantik RCI meskipun terdapat gesaan daripada parti-parti komponen BN di Sabah. Pemimpin-pemimpin Sabah yang tertentu mendakwa bahawa Kabinet telah bersetuju secara prinsip sejak tahun lepas. Namun, pengumumannya ditangguhkan berkali-kali.

10.  Menjelang pilihan raya umum (PRU13), BN mula menyedari kegelisahan meluas kalangan penduduk Sabah terhadap isu ini, lalu BN tiada punyai pilihan kecuali terpaksa tunduk melayani tuntutan rakyat.  Sejak Februari, Perdana Menteri menyatakan hasrat menubuhkan RCI. Bagaimanapun, tiada butir-butir lanjut diumumkan dan alasannya adalah kerana Kerajaan masih mengkaji terma-terma rujukannya (Terms of Reference).

11.  Kami percaya bahawa isu ini telah sampai ke kemuncaknya dan perpecahan BN Sabah tidak dapat dielakkan lagi sekiranya ia tidak diselesaikan. Justeru, pengumuman terkini Perdana Menteri pada 1 Jun 2012 berhubung penubuhan RCI adalah merupakan satu langkah terakhir untuk mengelakkan BN Sabah dari kehancuran.

12.  RCI yang diumumkan itu tidak lebih berupa gimik pilihan raya untuk membohongi pengundi-pengundi Sabah. Hakikatnya tidak ada komitmen yang tulus ikhlas untuk menyelesaikan krisis kebanjiran pendatang. Tumpuan RCI seolah-olah hanya terhad kepada fenomena pendatang tanpa izin sahaja, tetapi tidak menyentuh pihak yang bertanggungjawab atas masalah pendatang dan fakta-fakta sejarah.

Justru, kami juga tidak yakin bahawa rupabentuk RCI yang diumumkan Kerajaan BN akan diperkukuhkan dengan mandat yang cukup lagi mencakupi untuk mencari penyelesaian muktamad terhadap masalah pendatang di Sabah.