Pada 10hb Februari 2009, saya mewakili hamba-hamba Allah yang prihatin telah menghulurkan sumbangan ikhlas kepada rumah asuhan kanak-kanak kurang upaya Tasputra Perkim. Jumlah sebanyak RM5,000 yang dihulurkan adalah sedikit berbanding kos bulanan mereka yang boleh mencecah sehingga RM45 ribu setiap bulan. Ini kerana terdapat lebih 52 anak-anak OKU serta 29 kakitangan yang membantu mereka. Namun, diharapkan ianya dapat mengurangkan bebanan harian mereka.
Harapan saya adalah kita, terutamanya dalam keadaan yang mencabar ini, menyalurkan sumbangan dengan harapan kehidupan kita terus diberkati oleh Yang Maha Esa.
Sumbangan dan sokongan boleh berbentuk:
- Wang Ringgit
- Sukarelawan/Volunteering (dengan menolong kakitangan sedia ada dengan meluangkan masa, bermain, dan tunjukkan sokongan pada anak-anak di Tasputra)
- Apa jua bentuk sokongan (saya amat tertarik apabila ada seorang sukarelawan datang bermain gitar untuk anak-anak Tasputra)
Diasaskan pada tahun 1980-an, kemudahan yang ada di Tasputra termasuk rehab center (pusat pemulihan), kolam renang, tempat bermain muzik, kawasan permainan (playground), kawasan didikan khas, dan ‘spa’ untuk pumulihan menyeluruh! Saya turut berjumpa dengan beberapa ibubapa yang begitu teruja dengan usaha Tasputra yang pada mereka telah memberi lebih makna di samping meningkatkan perkembangan emosi, fizikal serta mental anak-anak mereka.
Kepada Puan Eli Norman, tahniah kerana usaha dan dedikasi yang ditunjukkan untuk menjaga dan meningkatkan taraf hidup anak-anak istimewa ini.
InsyaAllah, pihak kami merancang program untuk pusat-pusat kebajikan di Lembah Pantai dalam masa terdekat ini. Diharap semua dapat datang memberi sokongan nanti.