Skip to main content
EducationFederal TerritoryMediaPolitikPress ReleaseStatementswomen

TENGKU ADNAN WAJAR DIKECAM ATAS CUBAAN MEWUJUDKAN UNDANG-UNDANG MENGHUKUM ORANG GELANDANGAN DAN PEMBERI SEDEKAH

By 3 July, 2014February 5th, 2021No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

TENGKU ADNAN WAJAR DIKECAM ATAS CUBAAN MEWUJUDKAN UNDANG-UNDANG MENGHUKUM ORANG GELANDANGAN DAN PEMBERI SEDEKAH

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Yang Berhormat Datuk Seri Seri Tengku Adnan Mansor bahawa suatu undang-undang akan dilaksanakan bagi mengekang budaya meminta sedekah adalah suatu tindakan drastik wajar dikecam kerana isu gelandangan serta peminta sedekah ini berkait rapat dengan isu kemiskinan tegar; yang buat masa ini usaha kerajaan dalam menyelesaikannya amat mengecewakan.

Dalam kelima-lima dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara , Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak berumah/gelandangan.

Di United Kingdom, Parlimen mereka telah meluluskan sebuah dana £400 juta (RM2.2 Billion) untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan 8 jabatan kerajaan diketuai oleh Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan (Department for Communities and Local Government) bagi menangani isu gelandangan.

Usaha Ini dibantu Perkhidmatan Khidmat Nasihat Gelandangan Kebangsaan (National Homelessness Advice Services) dengan kerjasama Shelters bagi memberikan khidmat konsultan, latihan kepada NGO-NGO yang ingin membasmi gelandangan, nasihat mengenai hutang gadaian (mortgage debt advice) dan juga penerbitan isu-isu mengenai masalah perumahan dan golongan orang tidak berumah, untuk membantu ke arah meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Kita juga mampu belajar dari usaha  badan bukan kerajaan di Eropah seperti ‘European Federation of National Organisations working with the Homeless’ (FEANTSA), yang mempunyai 130 organisasi yang bekerja di 30 negara di benua itu. Antara yang dibincangkan secara ekstensif adalah masalah perkhidmatan, perlindungan kesihatan dan sosial, hak keatas rumah dan perancangan bandar, pengangguran, dan sokongan sosial yang didokong penuh institusi EU, Council of Europe and United Nations.

Dalam kesemua yang dibincangkan ini, tiada satu pun yang menyebut tentang polisi untuk menghukum peminta sedekah apatah lagi ingin menyaman pemberi sedekah kepada gelandangan ini. Mereka malah bertungkus lumus bersama NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah ini dengan kajian yang rapi, akademik dan mendapat sokongan sepenuhnya dari kerajaan.

Kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada kajian-kajian daripada pakar-pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa yang banyak menyatakan bahawa keadaan ekonomi masyarakat tempatan akan bertambah sempit sekiranya polisi-polisi kerajaan yang diterapkan tidak dibetulkan.

Kajian Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM yang telah saya sebutkan sebelum ini menunjukkan; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan kelak, samada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan. Bank of America Merrill Lynch juga meramalkan, Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang tahun 2030.

Saya menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor agar menarik balik cadangan beliau, seraya menggesa kerajaan untuk menjalan usaha yang lebih giat untuk membasmi kemiskinan seterusnya gelandangan ini dari puncanya. Punca masalah gelandangan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu, bukannya menghilangkan simptomnya sahaja!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN