Skip to main content
Penerbitan

Tiga jenis defisit rugikan rakyat

By 9 October, 2012February 18th, 2020No Comments
Tiga jenis defisit rugikan rakyat
9 Oktober 2012

Alhamdulillah saya diberikan peluang sebagai wakil rakyat Lembah Pantai untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan Bajet 2013 kerajaan BN pada hari Khamis lalu, 4 Oktober 2012.

Dalam perbahasan, saya menekankan bahawa Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri minggu lalu merupakan bajet yang menyebabkan negara terus menanggung tiga defisit – “defisit fiskal” – “defisit moral” – “defisit demokrasi”.

Secara prinsip, perbezaan Bajet kerajaan BN dan Belanjawan Pakatan Rakyat adalah – Bajet Transformasi Hiasan Barisan Nasional hanya membuat ‘Yang Kaya bertambah Kaya dan Yang Miskin bertambah Miskin terutamanya Generasi Muda.”

Tanpa ‘Reformasi Struktur Ekonomi’ Pakatan Rakyat yang bertumpu kepada penstrukturan ekonomi untuk menambahkan pendapatan guna pakai secara berterusan berbanding ‘Transformasi Hiasan Ekonomi” kerajaan dengan pemberian bantuan wang sementara – Malaysia seperti kata seorang menteri akan bankrap pada 2019 dan seperti kata Laporan Merill Lynch bahawa pada 2030 negara akan menjadi ‘Negara yang Muda (demografi) tetapi juga Miskin’.

Pertama, Defisit Fiskal – semenjak 1999, kerajaan BN telah menggunakan “bajet defisit fiskal” setiap tahun yang meletakkan ekonomi negara di tahap paling lemah berbanding negara-negara Asia lain.

Hutang kerajaan persekutuan akan mencecah lebih 53.7 peratus KDNK atau RM502.4 bilion yang sudah hampir siling yang dibenarkan di bawah undang-undang. Tetapi sekiranya kita jumlahkan dengan ‘hutang tersembunyi’ di dalam bentuk ‘contingent liability’ kita sudah pun melebihi 65 peratus KDNK.

Dengan hutang negara ini berjumlah lebih RM700 bilion bermakna setiap rakyat muda dan tua akan menanggung RM25,000 seorang yang sedihnya akan terus meningkat.

Ekonomi Negara kita merosot pada tangga ke 25 di dalam Tangga Upaya Saing World Economic Forum dan apabila ditambah pula dengan Aliran Wang Haram dianggarkan berjumlah RM970 bilion daripada 2001-2011 menjadikan keadaan semakin parah.

Jurang pendapatan kekal melebar pada kadar Gini Coeeficcient (nisbah gini) 0.46 – antara yang tertinggi di Asia di mana jurang pendapatan cukup luas melebar – golongan 20% terkaya di Malaysia memiliki 50% pendapatan dan nilai ekonomi yang dijana, sedangkan golongan 40% termiskin yang majoriti masih Melayu pula hanya berkongsi 14% dari kek ekonomi di negara ini.

Struktur gaji yang mendatar apabila peningkatan gaji hanya 2.6% sedangkan inflasi purata pada 3.2% sejak sepuluh tahun ke belakang terus menghimpit rakyat. Mengikut kajian ETP sendiri dijangkakan nisbah gaji pekerja kepada keuntungan syarikat akan MENURUN daripada 28% sekarang kepada 21% pada tahun 2020.

Terkini, berdasarkan piawaian antarabangsa, sepatutnya harga rumah adalah 5 kali ganda gaji tahunan. Di Malaysia malangnya, 15 kali gaji tahunan. Ditambah pula dengan harga kereta yang dikenakan cukai berganda, hutang pinjaman kereta yang memerlukan hampir 30% pendapatan purata digunakan untuk bayaran terus menambahkan beban kewangan terutamanya untuk generasi muda.

Kedua, Defisit Moral – pihak kerajaan telah menyatakan bahawa generasi muda yang diberikan pinjaman PTPTN diperintah untuk bertanggung-jawab membayar balik pinjaman. Ia juga dikatakan sebagai satu perkara yang bermoral untuk dilakukan.

Tetapi hujah moral ini amat berat sebelah kerana rakyat sahaja yang dituntut bermoral membayar balik pinjaman manakala kroni serta keluarga elit bukan sahaja mendapat projek kerajaan secara terus tetapi apabila gagal berniaga akan di’selamatkan’ melalui ‘Bailout’ berbilion ringgit yang terus menambahkan hutang negara yang dipikul rakyat.

Justeru itu, sekiranya kerajaan berani menyahut cabaran saya yang ditolak pada sesi parlimen sebelum ini untuk menyenaraikan nama anak-anak atau ahli keluarga menteri dan timbalan menteri (serta nama syarikat-syarikat) yang mendapat projek, tender dan kontrak kerajaan yang melebihi RM5 juta daripada tahun 1998-2012, maka barulah kerajaan ada hak moral terhadap generasi muda dan rakyat amnya..

Memang nyata bahawa anak muda mahukan peluang, ruang dan sokongan yang sama diberikan kepada kroni, keluarga serta anak-anak menteri seperti di dalam projek syarikat Isitijuara, NFC, AAT mahu pun dalam usaha memasuki Buku Rekod Malaysia dengan kehadiran majlis perkahwinan teramai baru-baru ini – untuk membina masa depan yang lebih baik – bukan dibeban dengan hutang peribadi dan hutang negara gergasi, kadar gaji yang malar, kuasa membeli
merosot hasil mata wang yang lemah, harga kereta tinggi, harga rumah di luar kemampuan dan kos sara hidup yang meningkat akibat dasar-dasar pengurusan ekonomi yang tidak bermoral oleh kerajaan BN.

Ketiga, Defisit Demokrasi – dunia telah menyaksikan satu proses demokrasi yang penting iaitu perdebatan pertama di antara Presiden Obama dan pencabarnya Mitt Romney tetapi malangnya di Malaysia yang telah dicanangkan sebagai dengan izin, “The Best Democracy in the World” – bukan sahaja PM tegar tidak mahu berdebat dengan Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim malah langsung berdegil tidak mahu hadir pun di Dewan Parlimen untuk duduk dan mendengar ucapan belanjawan pembangkang.

Ke mana perginya tanggungjawab Kepimpinan Demokrasi Terbaik di Dunia? Apa yang dicakap dan apa yang dilakukan jauh berbeza. Ini adalah Kepimpinan Demokrasi-Palsu yang menggelapkan lagi masa depan kita.

Apa guna ada Piala Perdana Menteri di pertandingan debat sekolah-sekolah berasrama penuh saban tahun dan juga pertandingan debat antara Institut Pengajian Tinggi untuk piala yang sama yang bakal diadakan pada 10 Oktober ini jika Perdana Menteri mengatakan debat bukan budaya kita apabila memberikan alasan enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang?

Rakyat wajib diberi peluang untuk membuat penilaian di antara dua pendekatan berbeza pengurusan ekonomi di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Manakah yang benar – adakah negara akan bankrap seperti yang dikatakan oleh kerajaan BN apabila Pakatan Rakyat menawarkan pendidikan percuma, harga kereta turun, harga rumah rendah, kos sara hidup turun, gaji minima RM1,100, elaun tahunan RM600 untuk Caruman Wanita Kebangsaan, kenaikan gaji polis 15%, elaun guru RM500 sebulan dan sebagainya ATAU adakah negara akan bankrap apabila adanya bajet defisit masuk tahun ke 15, hutang negara sebenar pada tahap 65% KDNK, ‘Bailout’ berbilion ringgit, projek dan pembelian aset negara yang ditinggikan harganya seperti MRT, kapal selam, pemberian konsesi lebuh raya dan penjana elektrik bebas yang cukup lumayan, skandal PKFZ RM12 bilion, skandal NFC RM250 juta, aliran wang haram RM970 bilion, ketirisan ekonomi RM28 bilion setahun dan banyak lagi?

Sudah tiba rakyat membuat penilaian di antara dua pendekatan dan prinsip Pengurusan Ekonomi Negara antara BN dan PR dengan membuat pilihan di PRU 13 nanti – “Siapa yang dapat Menjamin Masa Depan untuk Malaysia yang Lebih Baik untuk Semua?”

Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 9hb Oktober 2012
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/tiga-jenis-defisit-rugikan-rakyat-1.92714