Skip to main content
Issues Affecting the RakyatMediaPress ReleaseReligion

TINTA KHAS NURUL IZZAH ANWAR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431

By 26 February, 2010February 18th, 2020No Comments

TINTA KHAS

NURUL IZZAH ANWAR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Tanggal 12 Rabiul Awal  merupakan tarikh istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia.Pada tarikh tersebut, Rasul Junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan sebagai pembawa khabar berita dan rahmat Allah s.w.t ke seluruh alam.

Kelahiran beliau di tengah-tengah kegawatan masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu membawa perubahan besar yang tidak ternilai bukan sahaja kepada masyarakat setempat bahkan terhadap seluruh peradaban manusia. Kelahiran beliau merupakan petanda berakhirnya zaman kegelapan dan kekufuran masyarakat Jahiliyah ketika itu serta bermulanya tradisi kecemerlangan dan pencerahan masyarakat di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Maka tidak hairanla jika tarih kelahiran Rasulullah S.A.W ini diraikan dengan begitu meriah sekali oleh umat Islam di seluruh dunia.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Sempena hari yang penuh berkah dan mulia ini, saya ingin mengajak teman-teman semua merenungi mesej penting  yang diutarakan oleh Rasulullah dalam Ucapan Wida’ baginda:

“…Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.”

Dalam kemeriahan menyambut Maulidur Rasul, janganlah kita alpa dan lupa kepada perjuangan kita untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan di bumi Malaysia ini. Seharusnya sambutan Maulidur Rasul ini dijadikan inspirasi untuk kita bersama-sama mendukung usaha ke arah membawa perubahan yang positif dan bermakna untuk rakyat Malaysia. Ambillah peluang ini untuk bermuhasabah atau membuat penilaian diri agar ketinggian akhlaq dan peribadi Rasulullah S.A.W itu dapat dicontohi dalam kehidupan kita. Janganlah pula kita bertelingkah sesama sendiri sempena sambutan Maulidur Rasul ini hanya kerana kepentingan dan agenda peribadi. Tidak kiralah apa cara sekalipun kita menterjemahkan rasa kasih yang mendalam terhadap Rasul Junjungan, samada dengan berarak, berpuasa atau mengadakan majlis ilmu, yang penting dan yang lebih afdal adalah agar kita sentiasa ikhlas dan bermuafakat dalam apa jua usaha kita, terutamanya dalam menentang kebatilan dan menghindar kezaliman di negara ini.

Teman-teman seperjuangan sekalian,

Justeru, saya menyeru kepada teman-teman sekalian agar menghayati sambutan Maulidur Rasul ini dengan menanam iltizam untuk memperbaiki diri, bangsa dan agama dengan cara mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan bukan sahaja dengan umat Islam tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Akhir kata, marilah kita mengingati bagaimana Rasulullah S.A.W menumpaskan kezaliman dan ketidakadilan bukan menggunakan kekerasan fizikal tetapi dengan keluhuran akhlaq dan ketajaman akal baginda. Semoga kita berupaya untuk menjejak langkah baginda itu, InsyaAllah.

Salam Maulidur Rasul

Dari Nurul Izzah sekeluarga.