UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
Kenyataan saya pada 7 April 2014: “Kenapakah Kerajaan Menawarkan Projek Janakuasa Solar 50 MW kepada 1MDB yang Diselubungi Kontroversi?” masih tidak mendapat apa-apa maklumbalas dari pihak berwajib.
Walau diakui tenaga boleh diperbaharui, lebih-lebih lagi solar merupakan alternatif yang baik lagi dialu-alukan, tatakelola penganugerahan sebarang kontrak haruslah mengambil kira prinsip persaingan antara syarikat-syarikat yang dapat memberikan manfaat yang terbaik kepada projek dan selanjutnya kepada rakyat.
Antara Objektif Perolehan Kerajaan yang diambil dari laman web Kementerian Kewangan termasuk menguruskan perolehan secara cekap dan berkesan; dan mendapatkan harga yang paling menguntungkan Kerajaan.(http://myprocurement.treasury.gov.my/index.php/en/objektif)
Secara lazim, hanya 3 perkara yang dibenarkan untuk rundingan terus iaitu untuk ketenteraan, perkara yang melibatkan keselamatan negara, dan produk-produk proprietari. Pastinya projek ini tidak tergolong dalam kategori di atas.
Malah, KETTHA mengatakan dengan mudah bahawa 1MDB menerima kontrak ini oleh kerana tiada syarikat lain yang telah menghantarkan cadangan untuk membina stesen janakuasa solar. Alasan yang langsung tidak dapat diterima.
Kerajaan wajib menerangkan dengan jelas mengapakah projek ini diberi secara rundingan terus bersama 1MDB, sedangkan SEDA telah berusaha dengan giat untuk menggunakan sistem tender terbuka dalam kuota tenaga diantara 1 MW dan 5 MW dalam tahun 2012.
Terkini, The Edge melaporkan bahawa TNB telahpun menandatangani Power Purchase Agreement (PPA) dengan 1MDB, satu-satunya perjanjian PPA secara rundingan terus sejak tahun 2011. Sehingga kini, tidak ada sebarang maklumat yang khusus yang dapat diteliti oleh orang ramai, lanjutan daripada rundingan yang dilakukan dengan penuh kerahsiaan.
Sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, First Solar adalah antara yang disebut-sebut akan menerima kontrak pembinaan janakuasa solar yang terbesar di Malaysia itu. Menurut laporan itu, pada kos RM7000/MW, kos janakuasa solar 50MW itu akan bernilai kira-kira lebih tinggi daripada RM350 juta, kerana pada ketika ini Malaysia tidak mempunyai teknologi untuk menghubungkaitkan stesen janakuasa solar dengan grid kebangsaan.
Laporan itu juga mengatakan bahawa tariff yang ingin dikenakan oleh 1MDB adalah pada kadar di antara 40sen/kWh dan 46sen/kWh. Menurut pakar-pakar industri kadar ini adalah terlalu rendah. Laporan itu juga menyebut, untuk melaksanakan projek itu, suatu tariff pada kadar sekurang-kurangnya 55sen/kWh diperlukan, dan ini hanya akan membayar kos EPC – Engineering, Procuremen and Construction.
Laporan itu juga menyebutkan, sekiranya tariff berada pada kadar 60sen/kWh, dan pada kadar faedah pada 5 peratus, kos faedah adalah pada RM17.5 juta untuk EPC sahaja. Ini akan meninggalkan cuma RM24.5 juta untuk kos operasi dan kos pajakan tanah sebanyak 250 ekar. Jika ini keadaannya, projek ini adalah sesuatu yang bakal memberikan kerugian yang besar kepada negara.
TNB wajib mendedahkan kandungan perjanjian ini untuk penelitian awam. TNB yang merupakan sebuah syarikat berkait kerajaan (GLC) dan diniagakan secara terbuka mempunyai tanggungjawab untuk bersikap telus kepada pihak-pihak berkepentingan, khususnya kepada pemegang-pemegang saham dan rakyat secara amnya. Pihak-pihak yang berkepentingan ini berhak menilai samada kandungan perjanjian ini merupakan sebuah perjanjian yang adil untuk kedua-dua belah pihak; Jangan nanti beban tanggungan kewangan TNB diturunkan kemudian kepada rakyat. Cukuplah sudah rakyat selama ini menanggung perjanjian yang berat sebelah dengan IPP.
Rundingan terus sering membawa kepada pelbagai masalah yang berkait rapat dengan penyelewengan seperti rasuah, kronisme, malah kos tidak terkawal serta menutup peluang kepada syarikat lain yang lebih berkelayakan. Di dalam mencapai objektif perolehan kerajaan jelas kontrak pembinaan stesen janakuasa solar ini wajib melalui proses tender terbuka. Tender terbuka akan membenarkan satu pertandingan komersil dan teknikal yang kompetitif dan memberikan Keputusan harga terbaik berserta kualiti yang bagus.
Era rundingan secara terus serta perjanjian diselubungi kerahsiaan sepatutnya sudah lama berakhir. Rakyat inginkan ketelusan, kecekapan, keadilan dan perbelanjaan terbaik untuk kewangan negara, seterusnya kebaikan rakyat Malaysia.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Calon Naib Presiden KEADILAN