Skip to main content

 

Sejak lebih kurang sebulan yang lalu, keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar, antara kumpulan etnik yang paling ditindas dan diancam serata dunia, kembali memuncak.

Keganasan ini disifatkan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas beberapa pos keselamatan tentera Myanmar yang kononnya didalangi militan Islam Rohingya. Ternyata tiada alasan yang merelakan penghapusan etnik yang diakui oleh pelbagai badan akademik dan hak asasi manusia serta menerusi laporan media antarabangsa. Sebuah kajian dari International State Crime Initiative di Queen Mary of London telah mengemukakan bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa pembunuhan, penderaan, rogol, penahanan sewenang-wenangnya, dan propaganda kebencian terhadap agama etnik Rohingya di Myanmar sedang berlaku secara berleluasa.[1]

Sehingga hari ini, tidak kurang dari 150 nyawa telah dibunuh secara kejam dan lebih kurang 1250 buah bangunan telah dimusnahkan oleh pihak tentera Myanmar.[2] Keganasan menggila ini wajib dikecam dan dihentikan dengan kadar segera.

Malaysia tidak boleh mengulangi pendiriannya sewaktu krisis pelarian ‘bot’ pada tahun 2015, yang mengabaikan pelarian pada awalnya dan hanya memutuskan untuk bantu pasca desakan umum.

Sebagai lambang ketamadunan dan kemanusiaan, saya menyeru kerajaan Malaysia untuk menzahirkan pendirian yang tegas terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya dan kealpaan kerajaan Myanmar termasuk penerima Hadiah Keamanan Nobel, Kaunselor Negara dan Ketua Umum Kerajaan Myanmar (secara de facto) Aung Saan Suu Kyi yang terus membisu dalam berhadapan dengan penganiayaan ini.

Semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB 2015 tentang pelarian Syria yang menyelamatkan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin dunia Islam tidak boleh “sekadar berasa kecewa dan mengabaikan umat Muslim yang miskin dan terpinggir” (“frown and turn our faces away from our fellow-Muslim poor and marginalized”).[3]

Sekiranya Perdana Menteri kita ikhlas dalam kata-katanya untuk memastikan kesejahteraan umat Islam yang terpinggir, Malaysia juga mesti mengambil inisiatif untuk menghentikan kezaliman terhadap etnik Rohingya.

1. Pertama, Malaysia merupakan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan keanggotaan negara kita akan berakhir pada bulan depan. Di manakah kenyataan ataupun ucapan mengenai kezaliman, penganiayaan dan ketidakadilan yang dialami etnik Rohingya selama Malaysia menjadi anggota?[4]

Saya menyeru agar Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar yang tidak berperikemanusiaan sebelum kita terlepas peluang untuk melaksanakan tanggungjawab kita untuk memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.

2. Kedua, Kementerian Belia & Sukan harus mengarahkan penarikan diri pasukan bola sepak negara daripada Kejohanan Piala AFF Suzuki sebagai bantahan terhadap kerajaan Myanmar yang menjadi tuan rumah bersama kejohanan tersebut. Sejarah membuktikan, pada tahun 1980, kita telah menarik diri daripada Kejohanan Olimpik yang lebih berprestij kerana membantah pencerobohan tentera Soviet ke atas Afghanistan. Keputusan ini diharapkan mampu diangkat sebagai pendekatan moral serta bukti komitmen terhadap isu hak asasi manusia.

aff-suzuki-cup-2016

Pada tahun 2012, saya telah menghantar usul tergempar untuk mengutamakan perbincangan tentang pembunuhan etnik rohingya. Malangnya, usul tersebut yang cakna menegakkan tanggungjawab kemanusiaan telah ditolak oleh pihak Speaker Dewan Rakyat.[5]

Kini, pada 2016, serangan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya berulang lagi. Janganlah kita menutup mata terhadap penderitaan etnik Rohingya yang kian berterusan.

Malah, Timbalan Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed telah mengumumkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan satu projek perintis untuk membolehkan 300 pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bekerja dalam sektor perladangan dan pembuatan Malaysia.[6]

Jikalau kerajaan Malaysia bersungguh dalam untuk mempertahankan nasib Rohingya atas dasar kemanusiaan, lanjutkanlah usaha ke peringkat antarabangsa!

Kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira agama dan bangsa, saya memohon agar kita terus bersuara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda bangsa Rohingya. Ambil bahagian dalam acara atau wacana yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hulurkan bantuan dari sudut tenaga, kepakaran dan kewangan dalam apa-apa inisiatif untuk membela golongan pelarian di negara ini. Dengan kesedaran dan mobilisasi masyarakat sivik yang mendokong kemanusiaan dan cintakan kedamaian, banyak perubahan yang dapat kita capai.

Persoalan yang harus kita utarakan,adakah wajar bagi Malaysia dan rakyatnya untuk terus berdiam diri sekarang di saat kekejaman dan pembunuhan yang tidak menunjukkan tanda-tanda bakal terhenti?

#selamatkanRohingya
#saveRohinga

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN
________________
[1] http://statecrime.org/state-crime-research/isci-press-release-26-october-2015/
[2] https://www.hrw.org/news/2016/11/21/burma-new-wave-destruction-rohingya-villages
[3] http://www.thestar.com.my/news/nation/2015/10/02/najib-speech-un/
[4] https://www.un.int/malaysia/malaysia/2016-statements-security-council
[5] https://www.nurulizzah.com/site/2012/11/usul-tergempar-pembunuhan-etnik-rohingya-ditolak-parlimen/
[6] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/pioneer-work-project-for-rohingyas-to-be-introduced-says-deputy-minister