Tan Sri Yang Dipertua,
Saya telah pada mulanya bercadang untuk mengemukakan Penerangan Sendiri menerusi peraturan mesyuarat 14 (1) (L), 25 dan 26 (1) (D)
Seperti mana yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi pihak Perdana Menteri.
Namun saya akur dengan nasihat Tan Sri Speaker, untuk meneruskan jawapan menerusi ruang menjawab usul Menteri walau Perdana Menteri mendapat laluan penerangan sendiri yang tidak perlu dibahas. Manakala saya akan bersedia mendepani persoalan lanjut dari dewan rakyat kerana tidak ada apapun yang saya sembunyikan. Saya juga telah melapor diri kepada Polis Diraja Malaysia sehubungan hal ini.
Tan Sri Speaker,
Saya amat terkesan dalam mendepani usul ini yang mengandungi dakwaan yang begitu berat dan tidak berasas.
Namun saya terpanggil dalam menjelaskan konteks dan perihal sebenar , dan dalam usaha membersihkan nama saya yang dicalar setiap hari khususnya di media arus perdana menerusi jawatankuasa hak dan kebebasan.
Saya juga mahu agar kemelut ini selesai segera demi memajukan penyelesaian kepada semua isu Negara yang mendesak.
Tan Sri Speaker,
Saya mulakan dengan mengingatkan kita semua bahawa dua tahun lalu, pencerobohan haram bersenjata di Kampung Tanduo , Lahad Datu, berlakunya serangan ke atas sempadan serta kedaulatan kita.
Serangan ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa perajurit-perajurit Negara, termasuk mencederakan ramai lainnya dengan parah – khususnya pegawai keselamatan Malaysia daripada Polis Diraja Malaysia dan dari Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia, dan juga orang awam yang telah terkorban, dalam mempertahankan Negara yang kita cintai ini.
Saya turut bersedih atas pemergian wira-wira negara kita, termasuk lanjutan bahaya yang dihadapi saban hari sehingga hari ini oleh warga sabah termasuklah penduduk Kampung Tanduo.
Tan Sri Yang Dipertua,
Sepertimana yang sudah saya jelaskan sebelum ini termasuk juga kepada pihak polis saya ke Filipina pada 9-10 November 2015 atas jemputan kerajaan negara tersebut, dan salah satu daripada acara yang saya hadiri adalah sebuah majlis makan malam terbuka yang disusun oleh tuan rumah.
Lawatan ini di atas jemputan Majlis Hal Ehwal Filipina & Institut Demokrasi Asia (Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy), pejabat Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada dan pejabat Naib Presiden Filipina, Jejomar Binay dalam mendokong desakan Kumpulan Kerja Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) desakan agar Mantan Ketua Pembangkang dan Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan serta-merta.
Antara perkara yang dibincangkan adalah perluasan ruang demokrasi dengan mempertahan prinsip kedaulatan undang-undang dan urus tadbir negara yang baik. Secara khusus, setiap acara juga mendokong gesaaan Kumpulan Kerja Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) agar Mantan Ketua Pembangkang dan Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan serta-merta.
Dalam sesi lawatan 2 hari ini pihak penganjur telah mengelola sesi berfoto secara berkumpulan dan secara individu. Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda dokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan serta-merta.
Jacel Kiram merupakan salah seorang daripada 15 tetamu dalam majlis makan malam terbuka yang dijemput penganjur program – Majlis Hal Ehwal Filipina & Institut Demokrasi Asia (Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy).
Tetamu-tetamu lain termasuklah Mantan Gabenor dan Ahli Kongres Batangas Hermilando Mandanas, Ahli kongres Regina Reyes, Ahli Kongres Filipina Silvestre Bello, Dekan Undang-Undang Amading Valdez, Mantan Setiausaha Kabinet Romy Nery, dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Undang-Undang Wencie Andanar dan staff Pejabat Naib Presiden Filipina dan Dato Bandar Manila.
Saya dimaklumkan kemudian bahawa Jacel Kiram adalah calon pilihanraya Kongres Filipina di bawah tiket United Nationalist Alliance, dan Naib Presiden Filipina Jejomar Binay. YB Batu beredar selepas program dan beliau tidak ada kena mengena dengan program makan malam terbuka tersebut.
Gambar yang dimuat naik di laman media sosial peribadi Jacel dan bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak dimuat naik oleh saya.
Saya tegaskan bahawa saya merupakan salah seorang jemputan dan saya tidak pernah merancang pertemuan mahupun berkenalan dengan Jacel. Saya juga tidak pernah memohon untuk bertemu dengan Jacel sebelum majlis makan malam terbuka pada 9 November 2015.
Semua hadirin yang hadir turut dipinta mengambil foto oleh penganjur yang telah menyediakan plakad “Bebaskan Datuk Seri Anwar serta merta” sejurus tamat setiap acara.
Saya berasa amat kesal, dan memohon maaf, terutamanya kepada kesemua keluarga mangsa tragedi Lahad Datu, rakyat Sabah dan seterusnya kepada kesemua Rakyat Malaysia yang terkesan dan marah akibat gambar-gambar tersebut.
Tujuh tahun yang lepas, saya telah berikrar akan mempertahankan negara yang kita cintai ini, perlembagaan persekutuan dan rakyat terhadap sebarang anasir-anasir buruk dari luar mahupun dalam negeri. Dan saya telah berusaha sedaya upaya, setakat yang terbatas oleh kebolehan manusiawi saya untuk menjalankan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada saya.
Apa yang kita telah pelajari daripada insiden Lahad Datu, dan untuk kita terus memandang ke arah masa depan negara, saya juga ingin menegaskan keinginan dan kesediaan saya sebagai Ahli Parlimen untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat Sabah, dan memastikan sempadan dan kedaulatan negara kita tidak dicabul oleh anasir-anasir luar seperti yang berlaku sebelumnya.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN