Ucapan Konvensyen Pakatan 2010
Oleh Nurul Izzah Anwar, 19 Disember 2010
Bismillahhir Rahmannir Rahim
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
Terima kasih Tuan Pengerusi,
Yang saya Hormati lagi DiSayangi,
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Presiden Parti Islam SeMalaysia,YB Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang
Pemimpin Parlimen DAP, YB Sdr Lim Kit Siang
Yang saya Kagumi lagi Kasihi,
Rakan-rakan Pakatan Rakyat semua.
Sidang Perwakilan sekalian,
Perjuangan Politik Memenuhi Amanah Rakyat
Mengapakah kita datang dari seluruh pelusuk Negara berkumpul pada hari ini?
Kita berkumpul pada hari ini, di sini, di Kepala Batas, di konvensyen ini, adalah sebagai penyambung tekad dan penyaksian iltizam kita untuk terus berjuang kerana Rakyat dan untuk Rakyat.
Kita berkumpul pada hari ini untuk mengeratkan tali persaudaraan satu perjuangan menghadapi satu cabaran dan memenuhi satu impian di dalam satu Pakatan demi Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Demokrasi.
Kita berkumpul hari ini untuk membawa Politik Harapan dan Pembebasan (Politics of Hope and Liberation) Pakatan Rakyat untuk menewaskan Politik Ketakutan dan Kehancuran (Politics of Fear and Destruction) Barisan Nasional.
Kita berkumpul hari ini untuk membina Malaysia yang lebih Baik untuk semua Rakyat (a Better Malaysia for all Malaysians) berpaksikan ketuanan atau keluhuran perlembagaan.
Inilah seruan rakyat yang disahut Pakatan…iaitu sebuah Pakatan Rakyat!
Sidang Perwakilan sekalian,
Kita Tahu…Kita Nampak…dan Kita Bersyukur bahawa……..
Negara Kaya dengan Sumber Alam…bijih, minyak, gas, galian, balak dan bermacam lagi.
Negera Kaya dengan Rakyat yang berkerja keras dan ikhlas mencari sesuap nasi.
Negara Kaya dengan sejarah gemilang pengorbanan dan usaha Rakyat memerdekakan Tanahair.
Walaupun Negara Kaya, yang bertambah kaya adalah Kroni BN.
Siapa pula yang miskin dan terus dimiskinkan?
Rakyat yang bertambah Miskin!
Rakyat Miskin, Kroni BN Kaya
Rakyat Miskin Ekonomi, dibeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan gaji yang semakin rendah kuasa membeli. Subsidi Rakyat cepat dipotong dapat kononnya jimat RM1.2 bil kononnya manakala subsidi kepada kroni melebihi RM23 bil , subsidi kroni BN bukan saja lambat dipotong walaupun digantikan pula dengan sumber kekayaan projek lain.
Rakyat Miskin Pendidikan, dibeban hutang PTPTN yang sepatutnya boleh ditukar kepada biasiswa penuh yang merangsang terus ekonomi rakyat dan dapat dibiayai daripada 30% keuntungan tahunan Petronas dan program kuota-dalam-kuota dimana 30% ekuiti bumiputera sediada patut dijual di atas nilai par-value kepada sebuah Tabung Pendidikan Rakyat.
Rakyat Miskin Pendidikan bilamana kita dapati bahawa program PINTAR yang dikelolakan bukan oleh Kementerian Pelajaran tetapi oleh isteri perdana menteri akan menawarkan pendidikan sekolah menengah dimana pelajar bukan sahaja dapat menduduki peperiksaan SPM tetapi juga peperiksaan antarabangsa seperti SAT. Pelajar tersebut belajar dua bahasa asing. Pelajar tersebut diberikan kokurikulum berkualiti tinggi. Mengapakah program PINTAR ini tidak menjadi program asas pendidikan menengah untuk semua rakyat Malaysia bukan segilintir elit?
Rakyat Miskin Perpaduan, diadu dombakan dengan api perkauman dan ditakut-takutkan sekarang dengan fahaman ‘pluralisme keagamaan’ yang sengaja diputar belitkan untuk mengelirukan rakyat.
Tetapi…..yang paling menyedihkan adalah Rakyat Miskin Demokrasi.
Rakyat Miskin Demokrasi kerana selama 53 tahun kita merdeka, 50 tahun sehingga sekarang kita masih dibawah perisytiharan darurat. Musuh-musuh Negara sudah lama tewas. Siapa pula yang dianggap BN sebagai musuh Negara sekarang? Komunis? Teroris? Ekstremis? Atau Rakyat?
Rakyat Miskin Demokrasi kerana masih wujud undang-undang anti-demokratik seperti ISA, AUKU dan PPPA. Undang-undang ini untuk selamatkan dan lindungi siapa? Barisan Nasional? Umno? Kroni? Atau Rakyat?
Rakyat Miskin Demokrasi kerana Proses Pilihanraya kita tidak telus dan tidak BERSIH. Proses Pilihanraya yang berat sebelah untuk mengekalkan kuasa siapa? Barisan Nasional? Umno? Kroni? Atau Rakyat?
Rakyat Miskin Demokrasi kerana tiga hari yang lalu Parlimen dicemari dan dinodai dengan jenayah proses keadilan yang kejam lagi brutal ala-Zimbabwe, ala-Korea Utara untuk menghukum tanpa bicara dengan penggantungan empat wira ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mendedahkan penipuan dan subahat kerajaan Barisan Nasional mengenai peranan APCO. Siapakah yang Parlimen wakili dan lindungi? APCO? Atau Rakyat?
Sidang Perwakilan sekalian,
Akta Pemulihan Demokrasi Cabaran Pakatan Kepada BN
Kita Cadangkan…. Kita Canangkan…..Kita Cabar Barisan Nasional untuk kembalikan hak dan maruah rakyat yang merdeka dengan menerima huluran tangan dwi-partisan dimana Pakatan Rakyat bersedia untuk bersama-sama Barisan Nasional didalam membentangkan AKTA PEMULIHAN DEMOKRASI dengan memanggil sidang tergempar parlimen 30 hari dari sekarang.
Akta ini adalah tanda keikhlasan Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Negara dari ambang kehancuran.
Akta ini adalah tanda kesungguhan Pakatan Rakyat untuk bertindak dengan penuh hikmah demi kesejahteraan rakyat.
Akta ini adalah tanda Politik Kejujuran serta Politik Harapan dan Pembebasan yang menjadi hak rakyat untuk menilai perbezaan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional.
Dan apabila Akta ini diluluskan dan rakyat masih juga memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan, maka Pakatan Rakyat akan menerima pilihan rakyat dengan tangan dan hati terbuka kerana kita yakin, kita patuh dan kita setia kepada kehendak rakyat semua.
Saya wujud kepada:
DEKLARASI KEMPEN MEMORANDUM SATU JUTA TANDATANGAN RAKYAT MENYOKONG PEMBENTANGAN DWI-PARTISAN AKTA PEMULIHAN DEMOKRASI KEPADA DYMM YANG DI PERTUAN AGONG MALAYSIA
AKTA INI berasaskan 6 perkara pokok seperti berikut:
- Membatalkan semua Pengisytiharan Darurat;
- Memansuhkan semua undang-undang Anti-Demokratik;
- Menunaikan Perjanjian Kemasukan Sabah dan Sarawak kedalam Malaysia;
- Menjaminkan Ketelusan Pilihan Raya Umum;
- Mengembalikan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan;
- Mewujudkan Kebebasan Media;
Oleh Yang Demikian, Pakatan Rakyat akan melancarkan KEMPEN MEMORANDUM SATU JUTA TANDATANGAN RAKYAT MENYOKONG PEMBENTANGAN DWI-PARTISAN AKTA PEMULIHAN DEMOKRASI KEPADA DYMM YANG DI PERTUAN AGONG MALAYSIA demi Agama, Bangsa dan Negara.
Sidang Perwakilan sekalian,
Mari kita turun ke padang untuk memberitahu rakyat dan menjemput rakyat meneliti tawaran dwi-partisan Akta ini.
Akta ini menjadi penyambung kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang mengandungi 131 perkara tindakan yang dimana sebahagiannya telah diambil, ditiru dan digunakan oleh Barisan Nasional seperti gaji minimum pekerja, bantuan dana hilang pekerjaan, cuti bersalin 90 hari, dan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan dan bukan perkauman, serta penangguhan GST.
Saya ulang, kita mampu menghasilkan dasar-dasar pro-rakyat, mampu memimpin 4 kerajaan negeri dengan tenang, berkesan, berhikmah, berhemat walaupun menghadapi sekatan dan sabotaj bertubi-tubi.
Akta ini adalah garis pemisah politik diantara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
Akta ini adalah sumbangan ikhlas dan berani Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.
Akta ini adalah penentu siapakah sebenar pejuang dan penderhaka kepada rakyat?
Pejuang Rakyat berani memulihkan demokrasi, manakala Penderhaka Rakyat terus merosakkan demokrasi.
Hipokrasi demokrasi Barisan Nasional akan terbukti kepada bukan sahaja rakyat malah kepada seluruh dunia seandainya tawaran dwi-partisan Akta Pemulihan Demokrasi ini:
DiTolak, DiPerkecilkan, DiPersendakan DiPutar Belitkan BN.
Tetapi kita yakin bahawa BN akan menyahut tawaran ini kerana bukankah janji Perdana Menteri bahawa ‘Rakyat DiDahulukan’?
Kita tunggu dan lihat samada janji hanya tinggal janji.
Sidang Perwakilan sekalian,
Thomas Jefferson pernah berkata:
Apabila Rakyat Takut kepada Kerajaan, ini adalah satu kezaliman;
Tetapi apabila Kerajaan Takut kepada Rakyat, ini adalah kemerdekaan.”
Siapa Takut Hilang Kuasa kerana akan Hilang Harta?
Jawapannya Barisan Nasional!
Siapa pula Tidak Takut Berjuang untuk Kembalikan Kuasa Rakyat?
Jawapannya Pakatan Rakyat!
Dengarlah dan ketahuilah bahawa walaupun Barisan Nasional mungkin nampak tersusun, teratur, kuat, gagah, kaya, berkuasa dan tidak dapat dikalahkan;
Tetapi yakinlah dan percayalah bahawa BARISAN NASIONAL tidak miliki SATU PERKARA…SATU PERKARA yang menjadi kekuatan PAKATAN RAKYAT iaitu KEBENARAN.
Kebenaran akan tetap hancurkan Kebatilan.
Kebenaran akan tetap kalahkan Kebatilan.
Kebenaran akan tetap atasi Kebatilan.
Sidang Perwakilan sekalian,
Barisan Nasional Merancang tetapi Allah lebih baik Merancang.
Berani kerana Benar.
Ayuh kita Maju Bersama dengan kibaran Panji-Panji Kebenaran!
Kebenaran untuk Rakyat!
Kebenaran demi Rakyat!
Kebenaran dari Pakatan Rakyat!
Sekian.