Tan Sri Yang di-Pertua,
- Saya mulakan dengan penegasan bahawa Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional.
- Malaysia terperangkap dalam status ekonomi kelas pertengahan; dan di kala rakyat sedang lemas dengan potongan subsidi kemudiannya cukai regresif GST; yang dahulunya dikhabarkan akan menurunkan 8 daripada 12 barangan ternyata meleset dengan kenaikan kesemua barangan termasuklah inflasi.
- Kuala Lumpur sahaja mencatat kadar inflasi teras setinggi 5.5 peratus menurut kajian Institut Rakyat pasca GST.
- Kos hidup terus meningkat, sementara gaji kekal rendah rata-rata kerana dasar yang melambakkan kehadiran warga pekerja asing – sekarang berjumlah 6.7 juta orang.
- Parlimen ini menjadi saksi pula siasatan skandal 1MDB yang ditunda apabila laporan interim Ketua Audit Negara didiamkan; anggota PAC semua dikabinetkan. Dan terkini wang derma yang kononnya dikembalikan. Ayuh, “show us the money trail!”
- Suasana global pula memperlihatkan harga minyak sedunia jatuh USD 28 setong; di mana setiap kejatuhan 1 USD mencatat kerugian RM300 juta. Akhirnya, rakyat dipaksa lagi merana apabila dana pendidikan – MARA, JPA menjadi mangsa; termasuklah para guru yang bakal dibekukan kenaikan pangkatnya.
- Di kala kebankrapan moral sebeginilah Barisan Nasional di bawah YB Pekan menekan agar Malaysia tumpu kepada perjanjian TPPA kesayangannya.
- Kerajaan ini tidak layak diberi mandat untuk meratifikasi perjanjian TPPA. Proses evaluasi TPPA lompong dan bersifat cherry picking.
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Malaysia merupakan sebuah negara dagang sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Maka, setiap perjanjian perdagangan perlu disemak secara teliti untuk memastikan kita kekal makmur dan mendapat manfaat ekonomi terbaik dari sebarang perjanjian.
- Perbincangan TPPA kali ini jelas dilihat berbeza berbanding di waktu Malaysia bagi FTA. Hakikatnya, keputusan politik sudah diambil YAB Pekan – it is a done deal!
- Sekiranya benar kerajaan serius mahu proses yang lebih boleh dipercayai – maka reformasikan sistem supaya sebarang perjanjian perdagangan wajib melalui parlimen – lengkap dengan kewujudan Jawatankuasa Parlimennya!
- Saya sambut baik Kaukus TPPA, malangya:
- Kami tidak diberi akses kepada teks rundingan berbanding wakil kongres Amerika sehingga peringkat akhir
- Permohonan supaya teks rundingan versi Bahasa Malaysia tidak dilunaskan
- Permohonan suatu sesi bersama Peguam Negara untuk memperincikan 26 pindaan undang-undang tidak dipenuhi.
- Ada yang mengatakan bahawa jika kita tidak tandatangan TPPA, Amerika akan menghukum Malaysia dengan menaikkan tarif dan cukai dagangan mereka ke atas Malaysia. Perlu diingat bahawa Malaysia dan 161 negara telah terlibat di dalam the World Trade Agreement dan secara purata nya tarif Amerika tidak akan melebihi 3%. Soalnya, untuk membuang tarif ini apakah yang kita akan bakal gadaikan?
- Datuk Menteri juga mengejutkan semua dengan pernyataan bahawa TPPA lebih adil daripada WTO dan PBB. Adakah adil apabila Amerika Syarikat diberi masa 30 tahun untuk menurunkan semua tarif yang paling sensitif; sementara Malaysia hanya diberi 16 tahun?
- Dari segi bukan-tarif TPPA yang dilampirkan dengan bab pelaburan; iaitu ibu kepada semua bab-bab TPPA; datang dengan intellectual property dan capaian kepada perolehan kerajaan. Setakat ini kajian-kajian hanya mengkaji hasil tarif sahaja, itupun dengan satu kaedah CGE; tidak termasuk dengan semua kaedah model ekonomi yang lain; tetapi seperti kata Prof KS Jomo; hanyalah tip of the iceberg. Kajian kepada kesan daripada bukan-tarif pula bagaimana?
- Laporan PWC: Baki perdagangan tanpa TPP USD 41.9 bilion; Jika tandatangan TPPA baki perdagangan jatuh kepada USD29.7 bilion.
- Ada yang menyatakan, lebih import pun tak mengapa; secara keseluruhannya perdagangan lebih aktif. Harus difahami, lebihan import akan beri kesan kepada sektor eksport – syarikat yang terlibat berkurangan insentif maka tutup, pekerja juga hilang mata pencarian.
- Sepanjang lima tahun perjanjian TPPA ini telah dirahsiakan dengan penuh rahsia dan apabila teks sudah dibuka; rakyat Malaysia; wakil rakyat diberi masa hanya 60 hari untuk menerima TPPA?
- Kita membahaskan rundingan TPPA ini di kala wujud suara dari Kanada serta Amerika Syarikat – kedua-dua ekonomi negara maju yang membantah TPP khususnya apabila penekanan keterlaluan diberikan terhadap pelaburan.
- Sebenarnya kritikan yang saya bawakan ini jua disuarakan Pemenang Nobel Joseph Stiglitz, Paul Krugman, Robert Reich, termasuk juga Senator Elizabeth Waren – semua menyatakan tidak salah berdagang. Yang salah apabila kita hanya menganjurkan keutamaan pelabur yang mengejar keuntungan serta laba yang tinggi tanpa memberikan hak yang sama kepada kerajaan serta rakyatnya
- TPPA ada 30 bab dan jauh melebihi FTA biasa dan bukan sahaja perjanjian perdagangan bebas tetapi lebih sebagai perjanjian pelaburan (Investment) di mana hanya 6 bab perdagangan manakala 24 bab peraturan. Semua bab akan merujuk kepada bab pelaburan (Investment) – TPPA menambah bab perolehan kerajaan, industri kecil dan sederhana, syarikat berkait kerajaan, harta intelek, pelaburan, dan yang akan saya tumpukan pada hari ini, Investor State Dispute Settlement.
- Bila berkait bab pekerja – ternyata sekiranya ada pekerja yang dimangsakan – mereka hanya boleh bergantung kepada undang2 Malaysia – tidak seperti pelabur. Pelabur istimewa – mereka ada ISDS!
- Saya rujuk kenyataan Elizabeth Warren – Senator AS dari Massachusetts, bekas professor Harvard Law School pengkhususan undang-undang Bankruptcy:
“ISDS ialah sebuah mekanisme atau badan pengadilan yang diamalkan dalam perjanjian TPPA. Namun, perkara ini sukar untuk dilakukan sekiranya pendakwaan tersebut antara sebuah syarikat dan sebuah kerajaan. ISDS memberi kelebihan kepada syarikat luar negara mencabar undang-undang negara TPPA dan berhak mengenakan bayaran yang tinggi kepada pembayar cukai tanpa melalui prosedur mahkamah US dan negara yang terlibat dengan TPPA. Dengan ISDS, sesebuah syarikat boleh membawa kes tersebut kepada panel penimbang tara antarabangsa daripada mahkamah US. Sekiranya syarikat tersebut menang kes, keputusan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah US. Perkara ini akan menyebabkan rakyat dan pembayar cukai terpaksa membayar kerugian syarikat tersebut. ISDS juga tidak mempunyai hakim yang bebas. Peguam yang mempraktikkan undang-undang korporat boleh menjadi peguam dan hakim pada masa yang sama [revolving door policy]. Perkara ini mungkin dibolehkan dalam pendakwaan antara syarikat dengan syarikat-syarikat multinasional yang besar. Malah, sistem ini mampu melemahkan kedaulatan undang-undang negara yang terlibat, termasuk Amerika Syarikat. Hanya syarikat multinasional dan pelabur antarabangsa mendapat sokongan mahkamah khas ini. Sebagai contoh, sekiranya syarikat Vietnam ingin mencabar kerajaan US atas kenaikan gaji minima, ISDS merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan kes tersebut. Tetapi, jika kesatuan buruh Amerika percaya Vietnam telah membenarkan syarikat Vietnam untuk membayar gaji hamba melanggar komitmen perdagangan, kesatuan itu hanya punyai hak membawa kes di mahkamah Vietnam.”
- Jangan terkejut, hebatnya senjata ISDS ini sehingga tahun lepas, 18 Julai 2014, kerajaan Rusia diarahkan untuk membayar USD50 bilion sebagai pampasan kepada OAO Yukos Oil Company (Yukos). USD50 bilion ataupun RM220 bilion; hampir sama besar dengan belanjawan negara Malaysia untuk satu tahun!
- MITI sah kan syarikat asing boleh saman jika kerajaan putuskan untuk menghentikan eksport bauksit. Sekalipun jika kerajaan mampu memenangi isu ini, kos pengurusan dan masa yang diperuntukkan masih lagi tidak memadai.
- Malah negara Indonesia, India dan Afrika Selatan berusaha menarik balik klausa Investment kerana bahayanya kepada negara. Saya sokong perdagangan bukan pemerasan!
- Kajian CBA oleh PWC yang dibayar oleh kerajaan menerusi MITI menghasilkan 5 mukasurat. Dinyatakan dalam sisipan laporan, “ by end 2014, UNCTAD reported 356 cases that have been concluded. Approximately 37 percent – were decided in favor of the state.” Maksudnya 63 peratus dimenangi oleh entiti bukan kerajaan!
- Jangan dilupa jua tambahan kandungan di dalam bab pelaburan yang berbunyi seperti berikut: Sekiranya pihak kerajaan Persekutuan masih berdegil dan membuat keputusan menandatangani perjanjian TPPA, maka ingatlah salah langkah pihak kerajaan persekutuan akan membawa kerugian dan kos yang terpaksa ditanggung oleh negara, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia.
- Kini ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat juga turut menentang perjanjian TPPA yang mampu menggugat kedaulatan dan undang-undang Amerika Syarikat seperti Louise Slaughter daripada dan beberapa ahli kongres konservatif daripada parti Republikan.
- Kita ada 74 bilateral investment treaties (BITs), tetapi BIT tersebut tidak pernah melibatkan Amerika. Ini melibatkan tribunal antarabangsa seperti gesaan Senator Elizabeth Warren dalam kongres Amerika Syarikat.
- Dahulu pelaburan tidak lah begitu luas seperti bilateral treaties. Saya beri satu contoh ketika Tun M dan kabinet memutuskan pada tahun 1997-98, ada seorang pelabur dari Belgium yang ingin mengeluarkan aset beliau dari Malaysia. Oleh kerana kita melaksanakan capital controls ketika itu, beliau menyaman kerajaan Malaysia. Namun kita bernasib baik kerana pada ketika itu pelaburan tidak tertakluk kepada saham milikan. Namun situasi ini berubah dengan perubahan definasi makna yang lebih luas untuk pelaburan antarabangsa. Saya bagi contoh isu Lynas. Antara negara-negara TPP, ada yang memiliki saham Lynas. Maka pembatalan lesen membuka ruang kita disaman!
- Brazil boleh dijadikan contoh. Brazil tidak mengamalkan dan menolak peraturan investment treaty – mereka tidak menerima ISDS; tetapi Brazil mendapat Foreign Direct Investment nombor 5 tertinggi dunia. Tiada korelasi bahawa klausa Investment bakal menambah pelaburan!
- Kajian 2008 menunjukkan sebanyak 94 peratus kontrak perolehan kerajaan Amerika Syarikat dimenangi oleh syarikat tempatan Amerika Syarikat. Baki 6 peratus daripada kontrak perolehan kerajaan Amerika Syarikat dikongsi oleh 170 negara. Justeru, apakah kita mampu untuk mendapatkan kontrak perolehan kerajaan Amerika Syarikat ataupun mereka yang akan mendapat kontrak perolehan kerajaan Malaysia? Justeru, adakah IKS dan usahawan kita mampu untuk bersaing dengan negara-negara yang mendominasi industri pelaburan kita?
- Justeru, atas dasar prinsip, kami dari Pakatan Harapan mendesak agar satu Jawatankuasa Khas TPPA diwujudkan yang melibatkan pakar seperti Prof KS Jomo, Prof Gurdial Singh Nijar, serta ahli-ahli ekonomi dan akademik yang layak.
- Kerajaan perlu mengambil tindakan berani untuk mengadakan kajian dengan lebih lanjut sebelum bersetuju untuk tandatangan TPPA. Era “Government knows best” sudah lama berakhir. Lanjutkan kajian manfaat serta kos TPPA terutama dari aspek bab-bab bukan tarif yang boleh menjerut negara.
- Soalan saya juga di bawah Artikel 9.11.6(b): Jika Malaysia hadapi civil strife atau konflik; adakah Kerajaan perlu bayar pampasan kepada semua syarikat-syarikat asing?
- Segala keputusan TPP akan mengikat Negara untuk perjanjian perdagangan lain di masa hadapan. Saya ingatkan supaya semua berhati-hati dan jangan cuai. Jangan jerut leher sendiri.
- Bahas TPPA bukan mengenai Barisan Nasional atau Pakatan Harapan tetapi masa hadapan Negara dan Rakyat. Maka saya mohon semua berhati-hati dalam isu ini.
- Secara kesimpulannya, berdasarkan mandat serta kepercayaan yang hilang ke atas kerajaan sedia ada, termasuk ketiadaan kredibiliti serta akauntabiliti, dan jua kebimbangan utama berkait tribunal ISDS, serta kos-kos yang lain, saya beserta pimpinan Pakatan Harapan beserta pembangkang lainnya terpaksa menolak usul TPPA ini.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN