Skip to main content
Statements

Ucapan pimpinan Pakatan Rakyat berhubung Belanjawan Pakatan Rakyat 2014

By 21 October, 2013February 18th, 2020No Comments

Ringkasan Bajet Pakatan Rakyat 2014:
Fokus Dato’ Seri Anwar Ibrahim

A. Ramalan Ekonomi Global
1. Ekonomi global pada 2014 diramalkan akan meningkat berbanding 2013. Ramalan IMF (4.0% vs 3.3%), World Bank (3.0% vs 2.2%) dan OECD (4.0% vs 3.1%).

2. Namun begitu, realiti ekonomi global yang agak rapuh dan tidak menentu pada ketika ini (seperti yang akan dinyatakan di bawah) boleh membawa risiko untuk ramalan di atas diubah kepada kadar yang lebih rendah;
i. Ketidaktentuan dalam penyelesaian permasalahan hutang Negara Amerika Syarikat (debt ceiling, quantitative easing)

ii. Kemelesetan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi di Eropah yang berterusan disebabkan oleh langkah-langkah penjimatan (austerity measures)

iii. Prestasi ekonomi China yang kurang memberangsangkan serta kelembapan pemulihan ekonomi India

3. Pakatan Rakyat meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2014 pada kadar 5.2% (berbanding 2013 pada kadar 4.5% hingga 5%), berdasarkan kepada ramalan peningkatan ekonomi global.
B. Anggaran Defisit
1. Pakatan Rakyat menganggarkan defisit Negara untuk 2014 pada RM 34 billion bersamaan kadar 3.2% GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar). Aggaran ini dibuat berdasarkan:
i. Anggaran pendapatan Negara sebanyak RM 228 billion
ii. Anggaran perbelanjaan Negara sebanyak RM 262 billion dimana pengurangan sebanyak 10% pada perbelanjaan operasi (OPEX) tidak termasuk emolumen
iii. Anggaran KDNK sebanyak RM 1,055 billion berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2% untuk 2014

2. Sejak Pakatan Rakyat menyediakan Belanjawan alternatif, anggaran defisit PR adalah selalunya lebih rendah daripada BN.Defisit sebenar kerajaan BN adalah dianggarkan lebih tinggi dari 3.2% (dianggarkan sebanyak 3.8% hingga 4%) disebabkan kegagalan mereka menangani rasuah dan ketirisan

C. Teras Belanjawan Pakatan Rakyat (PR)
Belanjawan PR kali ini dirangka berdasarkan kepada 3 teras utama:
1. Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan Awam
2. Pembangunan Ekonomi yang Seimbang, Inklusif dan Mampan
3. Peningkatan Kesejahteraan dan Kualiti Hidup Rakyat

C1. Teras 1: Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan Awam
Pengukuhan kedudukan fiskal Negara adalah amat penting dalam memastikan kesinambungan kedudukan kredit Negara yang kini dihadapi kemungkinan penurunan taraf (sovereign downgrade) akibat penambahan defisit dan hutang negara yang membarah semenjak 2009.

Bajet alternatif 2014 PR adalah suatu usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar 3% GDP pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan bajet (budget surplus) selewat 2018. Reformasi fiskal ini dijangka akan membolehkan Malaysia:
1. Keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM 500 billion dan kos pembayaran hutang yang melebihi RM 20 billion setahun
2. Menjamin ekonomi yang berdaya tahan dan anjal dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu
3. Beralih dari pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pinjaman kepada pertumbuhan ekonomi yang dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan kerajaan

A. Bagi menjamin PERBELANJAAN kerajaan yang lebih efisyen dan teratur, PR akan:
1. Melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan untuk mencapai pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 10%. Ini akan dicapai melalui;
i. Penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan

ii. Pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama sekali dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan

iii. Memperkemaskan mekanisma subsidi sasaran (targetted subsidy) dan juga pengawalan barangan subsidi seperti diesel, petrol, gula dan tepung bagi mengelakkan salahguna subsidi

2. Mengkaji semula keutamaan perbelanjaan (spending priority) dengan mengurangkan atau menghapuskan perbelanjaan program-program yang tidak berkesan dan kurang kepentingan sebagai contoh;
i. Program Khidmat Negara yang dilihat gagal mencapai objektif memupuk kesatuan kaum dan jatidiri di kalangan pelatih-pelatih. Program ini menelan belanja tahunan RM 800 juta yang lebih besar dari perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (~RM 700 juta) yang juga mempunyai matlamat yang sama. Program ini juga telah menyebabkan sebanyak 22 kematian semenjak penubuhannya dan sebilangan kes pelatih hamil yang bersalin sewaktu di dalam progam, disebabkan perancangan dan perlaksanaan program yang tidak baik. Program ini patut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Parliamentary Select Committee (PSC)

3. Mengambil tindakan tegas terhadap kesemua kementerian yang terlibat dengan sebarang salahlaku dan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara. PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM 20 hingga 30 billion boleh dijimatkan sekiranya kesemua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dihentikan. Antara contoh pembaziran besar yang dilaporkan adalah;
i. RM 2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian. Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan anak-anak kita di sekolah. Pembaziran dianggarkan sebanyak RM 1.6illion

ii. Pengurusan projek Mansuh oleh Kementerian Kerja Raya. Dari 2010 hingga 2012, projek mansuh sebanyak 83 projek dianggarkan berjumlah RM 2.2 billion. Kerugian dianggarkan sebanyak RM 1.1 billion atau 50% daripada nilai asal disebabkan oleh kelemahan pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor

iii. Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM 1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih 96% peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum dibaiki sejak 2010. Anggaran kerugian yang dilaporkan setakat ini adalah sekitar RM 120 juta. Kemungkinan besar projek ini akan menelan belanja yang lebih besar untuk disiapkan.

B. Bagi menjana PENDAPATAN kerajaan yang lebih saksama dan adil, PR akan:
1. Menangguhkan implementasi GST (yang dilihat akan lebih membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana) sehingga:
i. Pendapatan minima isirumah mencapai suatu tahap yang dikira sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat GS

ii. Pelebaran ‘band’ cukai pendapatan terutamanya golongan menengah untuk mengelakkan kemasukan mereka ke ‘band’ cukai yang lebih tinggi dalam tempoh yang singkat. Lebih banyak perelepasan cukai juga harus diberikan kepada golongan menengah

iii. Kajian menyeluruh mengenai trade-off cukai korporat/peribadi dengan GST dilakukan dan diperjelaskan kepada rakyat untuk mengelakkan rakyat dibebani dengan pertambahan cukai akibat GST sekiranya cukai korporat/peribadi dikekalkan pada kadar yang sama

2. Memperkenalkan sistem cukai yang lebih saksama;

i. Mengembalikan cukai RPGT (real property gains tax) pada tahap sebelum 2007, iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama, sehingga cukai terendah 5% bagi perjualan pada tahun kelima. Ini bertujuan untuk mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan

D. Aspek-aspek lain bajet PR 2014
1. PR percaya bahawa peningkatan penyambungan (connectivity) samada dari segi perhubungan seperti Internet, mahupun perhubungan fisikal seperti lebuhraya adalah amat perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, mampan dan inklusif. Untuk mencapai keseimbangan dari segi pembangunan rakyat luar bandar/bandar, Sabah & Sarawak;
i. Lebuhraya Pan-Borneo yang menyambungkan bandar-bandar di Sabah & Sarawak akan di naiktaraf dan pembinaannya akan disegerakan seawal 2014. Lokasi-lokasi kemalangan akan dikenalpasti untuk diperbaiki dan penyelengaraan yang berkala juga akan dilakukan.

ii. Pengkajian semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Polisi yang lebih baik akan berupaya untuk menurunkan harga kargo dan barang-barang yang masuk/ keluar dari Sabah dan Sarawak, seterusnya menyumbang pada pertumbuhan ekonomi

iii. Penjurusan kepada perbekalan air dan elektrik 100% untuk kawasan luar bandar & bandar terutamanya Sabah & Sarawak. Ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik menerusi penggunaan teknoloji solar, windfarms dan microhydro

2. PR amat menghargai sumbangan wanita untuk pembangunan Negara. Kaum wanita akan diberikan insentif berikut untuk menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi Negara:
3.
i. Peruntukan sebanyak RM 1,200 setahun bagi setiap ibu bekerja untuk membiayai caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah 12 tahun

ii. Peruntukan sebanyak RM 3 billion setahun kepada Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN), iaitu suatu bentuk jaringan keselamatan sosial komprehensif bagi isteri terutamanya suri-suri rumah. Kerajaan PR akan menyumbang RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami (suami mencarum bagi pihak isteri pada kadar minimum RM 120 hingga RM1,200 setahun) dan SCWN ini boleh dikeluarkan apabila berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal dan hilang kekal pendapatan

iii. Mengekalkan polisi untuk meningkatkan pimpinan wanita hingga pada tahap sekurang-kurangnya 30% pada tahun 2017. Pimpinan wanita di Parlimen, pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam dan swasta akan menjadi tumpuan utama.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

21 Oktober 2013
Ringkasan Bajet Pakatan Rakyat 2014:
Fokus YAB Tn Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP

1. Perkembang jaringan PERKESO
Pada waktu ini, terdapat terlalu sedikit bilangan skim insurans alternatif untuk pekerja berpendapatan rendah yang mempunyai sistem baik yang melindungi pekerja, manakala PERKESO hanya meliputi kemalangan yang berlaku apabila pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dan sewaktu bekerja. Oleh itu, Pakatan Rakyat mencadangkan satu skim insurans 24-jam, terutama bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja; Kerajaan Persekutuan, majikan, dan pekerja akan masing-masing menyumbang tambahan RM1 sebulan.

2. Pendidikan:
(a) merapatkan jurang pendidikan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, dan juga komuniti Orang Asli, dengan melatih guru-guru dari kalangan komuniti setempat;
(b) pertingkat kualiti kemudahan pendidikan dan juga pendidik dengan menubuhkan 5 Sekolah Menengah Vokasional dan Teknikal, dan mewujudkan Pasukan Perekrutan Perguruan (‘Teacher Recruitment Unit & Specialist Team, TRUST) untuk menzahirkan objektif pengambilan guru-guru dari 30% teratas setiap kohort;
(c) mewujudkan Sekolah Keperluan Khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas;
(d) berpandukan Manifesto Harapan Rakyat yang dibentang sewaktu PRU13 yang lalu, Pakatan Rakyat komited untuk menambah bantuan kepada 1,854 Sekolah Janaan Rakyat (sekolah vernakular) di seluruh negara sebanyak RM300 bagi setiap murid setiap tahun, dengan jumlah peruntukan RM220 juta. Bantuan tambahan ini merupakan satu pelaburan oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah tersebut, termasuk membina bangunan tambahan dan meningkatkan kemudahan-kemudahan di sekolah-sekolah tersebut.

3. Belia:
Pakatan Rakyat bercadang untuk menambah 200,000 kerja baharu dalam masa 3 tahun, khusus untuk anak muda berumur 15 ke 24 tahun. Pakatan Rakyat akan menambah sumber maklumat, agar golongan belia dapat mengurangkan kemahiran yang tidak sesuai dengan keperluan pekerjaan serta pengangguran, melalui program bimbingan kerjaya bagi mereka yang masih di sekolah seperti projek perkongsian antara sekolah dan majikan. Program latihan sambil kerja juga akan diwujudkan, untuk mendedahkan anak muda kepada dunia kerjaya.

YAB Tn Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang
Setiausaha Agung DAP
Ahli Parlimen Bagan

Ringkasan Bajet Pakatan Rakyat 2014:
Fokus YB Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

1. Skim Insuran Luar Bandar
Pakatan Rakyat mencadangkan diwujudkan Skim Insuran Luar Bandar atau secara lebih khusus, Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak (SIPNP) yang lebih komprehensif supaya golongan ini boleh menangani impak ketidaktentuan cuaca, perubahan musim dan kejadian di luar jangka yang lain ke atas sumber pendapatan dan kelestarian hidup supaya mereka tidak terjerumus ke dalam kancah kemiskinan. Misalnya, di bawah Skim Insuran Nelayan yang sedia ada, pampasan untuk nelayan yang meninggal dunia dan elaun masuk wad hospital disediakan. Namun, skim ini mengetepikan risiko lain yang mungkin dihadapi kaum nelayan seperti hasil tangkapan berkurangan ketika musim tengkujuh melanda, seterusnya akan menyumbang kepada kemudaratan kesihatan dan keselamatan nelayan terjejas. Perubahan musim turut menyebabkan hasil pertanian dari aktiviti menoreh getah atau bekebun terjejas. Kejadian di luar jangka seperti serangan wabak penyakit ke atas tumbuhan dan haiwan ternakan juga akan menjejaskan pendapatan golongan ini.

Pakatan Rakyat mencadangkan SIPNP ini diwujudkan berdasarkan ‘pendekatan kawasan’ bagi kerugian yang disebabkan oleh perubahan musim serta ‘pendekatan individu’ bagi kerugian yang disebabkan oleh bencana alam dan serangan wabak penyakit. Berdasarkan statistik tahun 2009, terdapat seramai 1,349,000 orang petani dan 121,000 orang nelayan. Dengan andaian pendapatan bulanan purata sebanyak RM3,000 iaitu pendapatan tahunan berjumlah RM36,000 dan berdasarkan kadar 3% daripada jumlah hasil setahun, premium tahunan hanya berjumlah RM1,080. Andaikan premium setahun adalah RM1,000, ia dikongsi secara samarata di antara petani/penternak/nelayan dengan kerajaan iaitu RM500 daripada petani/penternak/nelayan dan RM500 daripada kerajaan. Andaikan 50% petani/penternak/nelayan menyertai skim ini, maka kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah: 735,000 petani/penternak/nelayan X RM500 setahun = RM 367,500,000 setahun

2. Pertahanan
Pakatan Rakyat menyarankan diwujudkan satu Jawatankuasa Akaun Pertahanan (Defence Accounts Committee) yang bersifat dwipartisan, untuk menyemak pembelian peralatan pertahanan. Satu jawatankuasa penyemak perlu diwujudkan, yang dianggotai wakil kerajaan, pembangkang, dan kumpulan pakar dari kalangan orang awam. Penjimatan dari perolehan ini akan diguna untuk meningkatkan gaji anggota tentera berpangkat rendah.

3. Kebajikan
Pakatan Rakyat bercadang mewujudkan program-program untuk membantu membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berpendapatan kurang dari RM1,200 sebulan, dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan warga emas dengan meningkatkan jumlah pakar geriatrik dari 16 pada waktu ini kepada 1,000 doktor pada tahun 2030.

YB Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang