Skip to main content
Lembah Pantai

Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha

By 16 November, 2010February 5th, 2021No Comments

Assalamualaikum & salam hormat buat semua,

Esok rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidil Adha, yang merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.

Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah – untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri – yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.

Janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan.

Beralih pandangan buat seketika. Baru beberapa hari lalu, kita membaca dan mendengar tentang satu lagi contoh pengorbanan yang jarang kita sendiri tempuhi. Di Burma, Aung San Suu Kyi telah dibebaskan setelah ditahan selama lebih tujuh tahun. Lebih tujuh tahun, bayangkan! Lebih tujuh tahun beliau tidak dibenarkan keluar ke mana-mana dalam negaranya sendiri, tidak dibenarkan beramah-mesra dengan teman dan taulan, malah tidak dibenarkan suaminya yang uzur akibat kanser untuk mengunjunginya, hinggalah suaminya meninggal tanpa mereka sempat berjumpa! Atas dosa apa? Ingin menegakkan panji-panji demokrasi di tanah airnya sendiri. Bukankah ini contoh pengorbanan yang cukup agung? Yang berani berdepan dengan kuasa militer yang cukup buas dan maha dahsyat?

Walaupun kebebasan yang dikecapi Aung San Suu Kyi masih belum penuh maknanya (pilihanraya umum di Burma yang baru tamat minggu lalu dipenuhi masalah dan penipuan), namun beliau telah menyatakan pendiriannya pada seluruh rakyat Burma: “Kita harus bersatu untuk bersama mengecapi kejayaan yang kita impikan.” Saya cukup mengagumi wanita ini.

Kembali semula ke tanah air. Marilah kita mengambil iktibar dari kisah-kisah ini, yang sudah dan yang sedang berlaku. Marilah kita menanamkan semangat, perteguhkan iktikad, dan kembali beringat bahawa negara Malaysia tercinta ini masih boleh kita perbaiki. Tapi ianya akan memakan masa, dipenuhi ranjau sepanjang jalan, dan memerlukan banyak pengorbanan. Kita harus bersabar dengan segala dugaan, berteduh dengan iman akibat setiap kehilangan, dan berpasakkan idealisme perjuangan – barulah kita akan mampu mengecapi kejayaan yang kita impikan.

Akhir kata, kepada muslimin dan muslimat, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Buat rakyat Malaysia amnya, jika ada yang ingin balik kampung, berhati-hati lah di jalan raya.