PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18
Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2), dengan ini saya mohon mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.
Saya, Nurul Izzah Anwar ( Lembah Pantai ) mohon mencadangkan:
“ Dalam dewan yang mulia ini, kita berkumpul dengan satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa di dunia ini iaitu nasib 800,000 etnik penduduk Rohingya di Arakan, Myanmar yang antaranya terkorban dan terus diancam pembunuhan beramai-ramai.”
Tan Sri Yang di-Pertua,
Hati kita semua diruntum sedih dan pilu, mengenangkan apa yang berlaku di Palestin, Mesir, Syria dan kini membarah ke Rohingya. Rakyat Malaysia yang sedar dan prihatin bersatu hati diwakili Ahli-Ahli Dewan Rakyat menolak sebarang kezaliman, penganiayaan dan ketidakadilan yang dialami etnik Rohingya.
Sejajar dengan semangat menegakkan keadilan sejagat dan juga sebagai Negara pencadang kemasukan Myanmar ke dalam Asean, Malaysia sepatutnya tidak berdiam diri Dalam kezaliman yang terus berlaku. Atas dasar kemanusiaan, hubungan serta kestabilan serantau, kita mesti secara aktif mendesak Myanmar melindungi kumpulan-kumpulan minoritinya daripada sebarang penindasan, apatah lagi pembunuhan.
Jumlah keseluruhan kematian sejak rusuhan Jun lalu mencecah 180 orang, ratusan yang cedera dan 28,000 orang yang terpaksa menjadi pelarian. Terkini, tindakan kerajaan Bangladesh melarang perayaan Qurban disambut di kem-kem pelarian Rohingya disekitar Negara tersebut. Larangan dikuatkuasakan sehingga pengedaran daging korban yang sepatutnya diagih kepada pelarian yang berada di kem tidak dapat disempurnakan dengan lancar oleh pelbagai NGO yang melakukan misi korban dari pelbagai Negara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Dengan ini saya menyeru agar Dewan yang Mulia inimengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya di Myanmar akibat tindakan zalim dan tidak berperikemanusian ini yang berterusan tanpa kecaman daripada kerajaan Myanmar.
(2) Malaysia perlu menyatakan komitmen dengannegara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN dan negara-negara sependapatbagi mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu di Rohingya.
(3) Kita menuntut supaya OIC sebagai badan antarabangsa menggunakan pengaruhnya mendesak supaya Bangladesh tidak menambahkan lagi penderitaan yang dialami oleh pelarian Rohingya termasuk mendapatkan pengesahan status mereka sebagai warganegara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Hari ini kita mengambil pendekatan yang sama dalam satu pakatan dan satu barisan. Dasar diplomatik yang kita telah meterai sekian lama perlu kita gunakan bagi membendung sebarang usaha yang menzalimi rakyatnya sendiri.
Jelaslah, apa yang menimpa etnik Rohingya kini adalah tindakan yang melangkaui kepercayaan agama, melanggar hak asasi, keadilan dan prinsip kemanusiaan. Oleh demikian, atas dasar kemanusian ini saya berharap agar Kerajaan Malaysia terus komited dan mendokong usul yang saya bawa ini demi nyawa etnik Rohingya, antara kumpulan minoriti yang memerlukan dokongan kita.
Tuan Yang di Pertua,
Atas perkara yang tertentu ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon mencadangkan usul ini dibincangkan.
“Demi Malaysia yang Lebih Baik”
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai