Skip to main content
Education

Wacana bersama Perkasa untuk permulaan baru Malaysia: Malaysia atau Malaysaja?

By 31 August, 2010February 5th, 2021No Comments

Debat Agung Malaysia

Wacana bersama Perkasa untuk permulaan baru Malaysia:

Malaysia atau Malaysaja?

Oleh Nurul Izzah Anwar

Mukadimah

Perkasa mendakwa mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dalam kepelbagaian kaum di Malaysia. Hak-hak ini kononnya tidak boleh dicabar, dibincang dan kekal abadi. Mereka yang tidak bersetuju dianggap penderhaka dan disuruh meninggalkan Malaysia.

Jemputan untuk perbincangan

Sempena sambutan Kemerdekaan dan semangat Ramadhan, saya ingin menjemput Perkasa untuk berwacana dalam membentuk halatuju baru Malaysia bersama saya.

Saya mahu bertanya kepada Perkasa, beberapa persoalan pokok untuk sama-sama memahami dan mencari penyelesaian kepada krisis yang dikatakan melanda orang-orang Melayu.

Saya percaya Perkasa adalah suara paling lantang walaupun tidak semestinya majoriti, yang mewakili orang-orang Melayu. Dalam erti kata lain, Perkasa dicipta atas imej dan bayangan Umno.

Jika Perkasa sudi untuk berwacana demi manfaat bersama, kemungkinan ia akan dapat menjawab persoalan yang membelenggu orang Melayu dan mengakhiri perbincangan ini buat selama-lamanya.

Untuk menjalankan dialog atau wacana yang jujur, saya mencadangkan kita menerima empat perkara pokok.

Pertamanya dialog itu haruslah berasaskan kepada dokumen yang dipersetujui. Sama ada Perlembagaan Persekutuan? Perlembagaan Umno atau Perlembagaan Perkasa?

Sekiranya persetujuan ini gagal dicapai, maka dialog ini tidak mungkin berjaya dan akan berakhir sebagai perbincangan sehala.

Bagaimanapun, melihat bagaimana Perkasa terus merujuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, bolehlah diandaikan dokumen itu akan menjadi standard rujukan bagi dialog tersebut.

Kedua, selepas dokumen rujukan dipersetujui, isu tafsiran perlembagaan juga harus dipersetujui.

Sebagai contoh, perlembagaan tidak menyebut secara langsung atau menggunakan istilah “Hak Istimewa Orang Melayu.” Istilah yang digunakan dalam Perkara 153 adalah “Kedudukan Istimewa Orang Melayu.”

Fasal itu menyentuh dengan jelas kuasa-kuasa yang ada pada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dalam memastikan kedudukan orang Melayu dalam perkhidmatan awam, institusi pengajian tinggi selain kuota dalam pembahagian biasiswa, dan permit serta lesen untuk perniagaan dan perdagangan yang diperuntukkan untuk orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Satu lagi contoh menarik adalah untuk mengimbangi peruntukan “Kedudukan Istimewa” orang Melayu dengan Fasal 8(1) bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”; dan Fasal 8(2): Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Sebaiknya satu entiti seperti Mahkamah Perlembagaan atau sekurang-kurangnya Majlis Perlembagaan yang dilantik Yang diPertuan Agong bertindak sebagai pentafsir muktamad dalam isu-isu perlembagaan.

Peranan Yang di Pertuan Agong dalam penafsiran perlembagaan sememangnya disebut dalam Perkara 153, “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa pihak kehakiman adalah berperanan sebagai pentafsir kepada isu-isu perlembagaan di Malaysia.

Untuk tujuan dialog, kedua-dua pihak bolehlah mengemukakan tafsiran sendiri, tetapi ianya hendaklah boleh dicabar kemudiannya.

Ketiga, dialog ini hendaklah dibuat secara terbuka dan dipersembahkan kepada orang awam untuk maklum balas dan pengesahan.

Sudah tentu, proses referendum adalah lebih ideal dengan isu-isu fundamental dapat ditentukan oleh rakyat dan semua pihak terikat dengan keputusan itu.

Sebagai alternatif, maklum balas awam untuk komen dan mekanisme cadangan melalui surat atau internet sudah cukup baik. Ianya tidak mengikat tetapi mencukupi untuk mengukur penglibatan awam, yang sudah tentunya akan mengayakan proses demokrasi.

Keempat, saya mencadangkan format dialog seperti berikut, saya akan membentangkan pandangan saya melalui artikel terbuka ini untuk disanggah oleh Perkasa dan kemudian terserah kepada Perkasa untuk membentangkan versi mereka bagi tujuan sanggahan saya.

Hasilnya bolehlah dipersembahkan kepada awam untuk komen dan cadangan.

Sebagai tanda keikhlasan, saya juga menjemput Perkasa untuk berdebat secara terbuka dengan disiarkan oleh televisyen.

Kaedah Dialog

Saya juga mencadangkan supaya Perkasa dan juga saya tidak melibatkan mana-mana parti politik dalam membentangkan pandangan.

Mungkin UMNO tidak bersetuju dengan pandangan Perkasa dan Pakatan Rakyat juga mungkin tidak menerima pandangan saya. Namun semua parti politik boleh melibatkan diri dalam memberikan cadangan dan maklum balas sekiranya mereka sudi.

Untuk mengelakkan mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan saya juga mencadangkan pandangan yang dikeluarkan dibuat sebagai pertanyaan untuk penjelasan dan bukannya cabaran untuk meminda perlembagaan.

Saya percaya Perkasa dan juga saya adalah anak Malaysia sebenar dan bersifat patriotik, cuma pandangan sahaja yang berbeza.

Bagaimanapun, sekiranya Perkasa enggan untuk menerima jemputan saya ini, cukuplah untuk rakyat dan sejarah melihat dialog ini sebagai usaha ikhlas saya untuk menghulurkan salam, demi untuk negara kita.

Soalan Pertama Saya; Siapakah Melayu?

Fasal 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau ialah zuriat seseorang yang sedemikian.”

Oleh itu, di sisi perlembagaan, orang Melayu adalah mereka yang bercakap bahasa tersebut, beragama Islam dan mengikut adat-resam orang Melayu.

Soalan saya kepada Perkasa adalah, dari segi spiritual dan intellektual, adakah Melayu menerima ketidakadilan, salah guna kuasa, rasuah, undang-undang anti-demokrasi, kehakisan institusi negara untuk menjadikan orang Melayu sebagai Bangsa Agung di Malaysia, dengan hak-hak istimewanya yang tidak boleh dikongsi oleh warga yang bukan Melayu?

Soalan kedua saya, apakah hak istimewa orang Melayui?

Hak istimewa orang Melayu adalah konstruk ideologi dan falsafah dan bukannya diperuntukkan oleh perlembagaan.

Fasal 153 hanya menyebut “Kedudukan Istimewa” orang Melayu dan bukannya “Hak-hak Istimewa” orang Melayu.

Istilah hak-hak istimewa orang Melayu membawa kepada “kontrak sosial” yang akhirnya membentuk “Agenda Melayu” yang dipanjangkan untuk merangkumkan istilah “Hak Istimewa Melayu.”

Kontrak Sosial menyatakan bahawa masyarakat Melayu menikmati hak-hak tertentu atas balasan kepada hak kewarganegaraan yang diberikan kepada bukan Melayu menjelang kemerdekaan oleh para pengasas negara kita seperti mana yang terkandung dalam Fasal 14-18, Bab 1 Bahagian III-Kewarganegaraan.

Hak-hak ini sering dirujuk sebagai “Agenda Melayu” yang merangkumi peruntukan untuk menjaga kedudukan Raja-Raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Agong dipilih dari kalangan Raja-Raja. Islam menjadi agama kebangsaan dan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan. “Agenda Melayu” turut merangkumi peruntukan-peruntukan tentang hak-hak ekonomi seperti terkandung dalam Fasal 153.

Perlu juga dinyatakan di sini, bahawa mengikut Suruhanjaya Reid yang merangka perlembagaan, Fasal 153 hanyalah tindakan sementara untuk merapatkan jurang antara kaum yang perlu dikaji keperluannya oleh Parlimen selepas 15 tahun.

Sepatutnya ia dikaji semula pada 1972, bagaimanapun rusuhan kaum 1969 mengubah perkara ini. Usaha dibuat untuk membuang tempoh luput Fasal 153, dan Akta Hasutan yang dipinda pada 1971 mengharamkan perbincangan daripada dibuat di Parlimen.

Hak-hak ekonomi kemudiannya diinstitusikan selepas rusuhan kaum 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya dirangkumkan kedalam Dasar Pembangunan Baru (DPB) pada 1990 hingga tahun 2000 dan kini kita berada dalam tahun terakhir Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RJP3 2000-2010) yang juga mengandungi Dasar Wawasan Negara (DWN).

Bagaimanapun, kami mengalu-alukan pengumuman untuk mengubah dasar afirmatif daripada berasaskan kaum kepada yang berasaskan keperluan seperti yang diumumkan dalam Model Ekonomi Baru (MEB), bagaimanapun berdasarkan kepada pengalaman lalu, tindakan afirmatif berdasarkan kepada hubungan pastinya akan kekal. Kita akan terus melihat pembahagian kekayaan yang memihak kepada kroni-kroni elit pemerintah.

Dasar pro-kroni ini telah menjadi “Hak dan Keistimewaan Orang Melayu” yang menjadi asas kepada “Ketuanan Melayu” yang terus menghantui MEB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Soalan saya kepada Perkasa adalah, adakah konsep hak istimewa orang Melayu kini menjadi konvensyen kekal dalam dasar dan amalan dan perlu diterima oleh warga bukan Melayu, walaupun ia bertentangan dengan perlembagaan?

Soalan ketiga saya; apakah yang dikatakan keresahan orang Melayu itu sebenarnya?

Bolehkah dikatakan “keresahan orang Melayu” yang dibina atas rasa ketidakyakinan orang Melayu, mungkin nampak dalam bentuk perkauman, tetapi adalah “Mentaliti minda tertawan”, yang merupakan reaksi kepada kegagalan untuk mencapai matlamat DEB (yang lahir semula sebagai DPB pada 1990, diikuti dengan RJP3 dan dihalusi sebagai MEB) selepas 40 tahun pelaksanaannya.

Mungkinkah juga rasa bimbang tidak berasas akan kehilangan Hak dan Keistimewaan orang Melayu sudah berkembang sebagai ideologi politik ketuanan Melayu yang terus memecah-belahkan negara?

Mungkinkah juga orang Melayu merasakan mereka menjadi semakin miskin, dipinggir dan tertipu di negara sendiri, walaupun berbilion dibelanjakan untuk DEB.

Mungkinkah “keresahan Melayu” itu sengaja saja diarahkan kepada kerajinan bukan Melayu dan anak-anak Melayu yang sudah mengalami perubahan?

Nampaknya, “keresahan Melayu” itu lebih berkisar kepada hak-hak ekonomi dan bukannya kebudayaan, raja-raja, perundangan, pendidikan, agama atau kekurangan kuasa politik yang sebenarnya masih dikawal orang Melayu dan tidak dapat dicabar seperti dilihat dalam komposisi kaum dalam institusi negara dan perkhidmatan awam.

Mungkinkah soalan yang membelenggu umat Melayu adalah, apakah nilai dan keperluan mempunyai tarian tradisional Melayu, institusi raja, bahasa Melayu, sekolah Melayu, institusi negeri dan persekutuan, sistem mahkamah syariah, dan kerajaan yang didominasi Melayu sekiranya orang Melayu kekal miskin?

Ketidakseimbangan dalam pencapaian akhirnya menimbulkan identiti Melayu yang celaru, kerana namanya sahaja “tuan” namun tidak berharta. Hakikat inilah yang menjadikan konsep “Ketuanan Melayu” kekal popular.

“Keresahan Melayu” secara sengaja diarahkan kepada kegagalan pencapaian DEB dan kegagalan ini digunakan untuk mewajarkan usaha untuk mengekalkan dasar ini walau apa pun akibatnya.

Sebaliknya, “keresahan Melayu” ini sepatutnya diarahkan kepada usaha menghidupkan persekitaran yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan, kerana mengembangkan kek ekonomi untuk mencapai sasaran DEB adalah hujah utama dalam dasar pembahagian semula kekayaan dalam DEB. Namun kronisme, rasuah, pembaziran, ketirisan, salah keutamaan dalam mengutamakan projek mega, sikap perkauman, undang-undang anti demokrasi dan hakisan dan pencabulan institusi negaralah yang sebenarnya mengekang tercapainya matlamat DEB.

Soalan saya kepada Perkasa adalah;

Apakah punca sebenar keresahan orang Melayu? Adakah dengan hasil DEB atau dengan pencapaian terpilihnya, dengan hanya segelintir golongan elit dan kroni mendapat faedah, lantas mengenepikan kepentingan Melayu?

Bolehkan Perkasa menjelaskan, ketirisan saham DEB berjumlah RM52 billion yang diperuntukkan untuk orang Melayu yang kini sudah terjual?

Apakah kesan kronisme, rasuah, pembaziran, ketirisan, projek mega, perkauman, undang-undang anti-demokrasi dan hakisan serta pencabulan institusi negara dalam menyebabkan “keresahan Melayu”?

Siapakah yang sebenarnya mengkhianati “agenda Melayu dan hak istimewa Melayu”?

Soalan terakhir saya; apakah matlamat akhir dan apakah kesan “keresahan Melayu” ini?

Hanya melalui pilihan raya yang adil, rakyat dapat menentukan sama ada “Ketuanan Melayu” atau “Ketuanan Rakyat” yang akan membentuk Malaysia selepas ini.

Selepas keputusan pilihan raya akan datang diketahui umum, dan sekiranya “Ketuanan Melayu” yang menang, sudah tentu ramai yang akan meninggalkan negara ini, yang membawa kepada kehilangan tenaga kerja dan pembayar cukai. Ada juga yang akan membawa keluar kekayaan mereka yang pastinya akan menyebabkan kemerosotan pelaburan asing dan terus membantutkan perkembangan ekonomi, yang akan menjerumuskan Malaysia ke lembah kegelapan dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Apa yang tinggal nanti hanyalah rangka sebuah negara yang sepatutnya menjadi satu contoh demokrasi dan negara majmuk untuk rakyat pelbagai kaum.

Kita sememanyanya berada di persimpangan bagi mencari halatuju negara.

Sebagai satu peringatan, jalan keluar kepada “Dilema Melayu” ini adalah seperti yang pernah disebut negarawan, Allahyarham Tun Dr Ismail yang mengatakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu hendaklah ditentukan oleh orang Melayu sendiri kerana dengan semakin ramai Melayu yang berpendidikan dan mendapat keyakinan diri, mereka sendiri akan menghapuskan kedudukan istimewa ini. Ismail percaya kedudukan istimewa adalah satu penghinaan kepada kemampuan orang-orang Melayu.

Selepas 53 tahun, adakah orang Melayu belum cukup berpendidikan dan mempunyai keyakinan?

Selepas 53 tahun, adakah kita orang Melayu masih tidak tahu tentang punca sebenar masalah kita?

Selepas 53 tahun, adakah kita masih tidak cukup Melayu untuk bertindak sebagai pelindung keadilan, pemberi kesaksamaan, maruah, persaudaraan, kebebasan dan kesejahteraan untuk semua yang memilih untuk bersama-sama kita sebagai warga?

Kesimpulan saya, orang Melayu mesti bangkit untuk melakukan apa yang betul untuk Malaysia dan anak-anak kita demi menyediakan mereka untuk cabaran dunia tanpa sempadan.

Adakah kita terlalu buta dan mementingkan diri sendiri untuk membahayakan masa depan mereka demi menutup dosa silam kita dan secara sengaja menimbulkan ketidakyakinan?

Maka persoalan terakhir saya untuk Perkasa, adakah saudara-saudari sekalian akan membenarkan negara ini kekal sebagai Malaysia atau dinamakan semula
“Malaysaja”?

YB Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Malaysia

31\Ogos 2010