Skip to main content
Human RightsPilihanrayaPolitikPress Release

Warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim Sempena Kongres KEADILAN 2015 Yang Dibacakan oleh YB Nurul Izzah Anwar

By 29 November, 2015February 5th, 2021No Comments

Presiden yang dicintai, Timbalan Presiden dan pimpinan semua peringkat yang dikasihi.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Seringkali dalam keheningan.., fikiran melayang menembusi tembok ke Segambut bersama Azizah dan keluarga. Dengan segar saya pastinya merayau menyapa teman dan pejuang yang terpaksa berhempas pulas diluar, serta kepasrahan rakyat yang diselubungi kesempitan hidup dan tekanan sistem “istibdat”.

Dalam bingkisan sempena kongres kali ini, saya cenderung untuk memberikan tumpuan kearah penjanaan kekuatan jemaah; dengan mengajak saudara – saudari  berbaiah dengan khitah asas perjuangan. Dengan sendirinya landasan tersebut  menolak faham kabilah; kesetiaan peribadi kepada Anwar dan tokoh lainnya.

Maka amat menyegarkan manakala membaca kenyataan tokoh – tokoh baru dan pimpinan muda yang menyertai KEADILAN baru – baru ini. Mereka menekankan dasar perjuangan kearah pemerkasaan rakyat ; memperjuangkan keadilan dan kemanusian!

Peringatan al quranul kareem agar menyerahkan amanah kepada ahlinya; terikat dengan akhlak dan etika serta apa yang kini diungkapkan sebagai “democratic accountability”. Seharusnya pimpinan disemua peringkat yang arif dengan saranan ” taklif wala tasyri”. Tanggungjawab bukan keistimewaan wajar menghayatinya sekaligus memaknai intipati perjuangan.

Menyingkap teori  Ibnu Khaldun mengenai pasang surut perjuangan dari tahap “umran badawi” ke “umran hadari”, perjuangan kebangsaan; malah sejak gejolak Reformasi sendiri – tahap awal lebih diwarnai dengan kegigihan dan keberanian tanpa sebarang habuan.

Masa beredar dan kita kini tercabar untuk menguji kekuatan dan bermuhasabah setelah merasai sedikit nikmat dan kedudukkan, ditambah dengan gelaran. Justru itu saya anjurkan supaya kita kembali kepada “khitah”.

W.S Rendra melontarkan mutiara kata :

” kesedaran adalah matahari
Kesabaran adalah bumi
Keberanian menjadi cakrawala
Dan perjuangan adalah pelaksanaan
Kata-kata”

Saya gariskan perkataan “pelaksanaan kata – kata” dengan mengajukan pertanyaan :

Apakah benar kita setia berbaiah dengan perjuangan dan tidak khayal dengan mantra pujian staf sekeliling atau kroni ?

Sejauhmanakah kita mengamalkan musyuwarah dalam memutuskan isu dasar?

Apakah terdapat bisikan sehingga yakin dengan keegoan diri, kehandalan dan populariti peribadi mengatasi jemaah ?

Tidak terjebakkah kita dengan amalan “clientehism” sepertimana yang dilontarkan oleh penulis Francis Fukuyama dalam karyanya ‘ Political order ‘ menjelaskan sebagai satu penyakit yang menghampiri rasuah, menganugerahkan jabatan atau habuan kepada kelompok kecil dengan mengenepikan kelayakkan dan prestasi ?
Dan persoalan asas – berhasilkah kita dengan tekad mempertahankan idealisme perjuangan serta menghindari ketamakkan dan kebejatan ?

Tanpa kecuali, persoalan tersebut ditujukan kepada semua pimpinan di semua peringkat.

Membina ketahanan diri, membenamkan rasa iri hati dan cemburu, mengelak fitnah senang dibicarakan namun ukuran akhir adalah “Pelaksanaan Kata – Kata!!”

Kesenjangan diantara idealisme dan kenyataan perlu dirapatkan dan dengan sendirinya terungkai permasalahan kesenjangan pendapatan golongan mahakaya dan yang miskin papa kedana.

Politik negara kian terapung…ibarat hanyut tanpa berhaluan. Keretakan kian ketara. Malangnya..rakyat terhimpit dengan tekanan hidup akibat kebijakkan ekonomi yang tersasul, memelihara kepentingan kelompok mahakaya dan mendera majoriti rakyat miskin…

Justru itu saudara – saudaraku…
Bangunlah dengan yakin dalam saf yang kukuh – “ban yanun massus” seperti dilakar A. SAMAD SAID :

” Berdiri kita setegap
Berdiri kita sederap,
Meragut cengkaman kawat.
….

Inilah tekad generasi baru
Akarnya keadilan syahda.”

Reformasi! Reformasi! Reformasi!

ANWAR IBRAHIM
29 NOVEMBER 2015